• Free Malaysia Today

Adakah SC akan siasat Genting, soal Wong Chen selepas Leissner beri keterangan 1MDB

Oleh Jason Thomas, Free Malaysia Today (25 Mac 2022) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang Wong Chen menyoal sama ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan menyiasat Genting Bhd selepas keterangan bekas eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengaitkan salah satu anak syarikatnya dengan skandal 1MDB. Menurut laporan The Edge, bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, Leissner memberi keterangan bahawa dia memindahkan US$14 juta (RM45 juta) kepada salah seorang daripada ahli keluarga Lim, yang mengawal Genting Bhd, untuk membantu meneruskan penjualan loji janakuasa Genting Power Holding Ltd kepada 1MDB pada 2012. “Saya ingin tanya sama ada timbalan menteri (Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa) akan mengarahkan SC menyiasat perkara ini dan memberi sokongan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya tindakan perlu diambil,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat semalam.

Menjawab soalan itu, Yamani berkata, ia harus ditanyakan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Ketika dihubungi FMT, Wong menegaskan SC adalah badan yang sesuai untuk menyiasat Genting Bhd kerana konglomerat itu disenaraikan di Bursa Malaysia yang dikawal selia olehnya.

SC pula melaporkan kepada menteri kewangan.

The Edge melaporkan semalam bahawa Leissner, yang merupakan saksi penting dalam perbicaraan kes rasuah bekas kakitangan bawahannya di Goldman Sachs, Roger Ng, mengesahkan bahawa dia menerima US$28 juta daripada Genting Power pada akhir 2012 dan kemudiannya US$14 juta dipindahkan kepada ahli keluarga Lim.

Menurut laman sesawang Genting Bhd, Genting Power menerajui perniagaan bekalan kuasa Genting Group dan mempunyai kepentingan dalam loji janakuasa arang batu, gas dan angin di China, India dan Indonesia.