• Sinar Harian

Alasan batal bina klinik tidak boleh diterima: MP Subang

Oleh Mohd Azlim Zainury, Sinar Harian (31 Mac 2022) PETALING JAYA: Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan alasan Unit Perancang Ekonomi (EPU) membatalkan projek pembinaan Klinik Kesihatan USJ1 di sini tidak boleh diterima sama sekali. Wong Chen yang juga Ahli Parlimen Subang berkata, jika projek itu pada asalnya diluluskan dengan perbelanjaan sebanyak RM45 juta, maka EPU perlu meneruskan projek itu pada kos asal. "Permohonan bajet yang lebih tinggi iaitu sebanyak RM67.8 juta oleh Kementerian Kesihatan (KKM) tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membatalkan projek (pembinaan klinik) itu sama sekali.

"Dalam masa sama, KKM juga harus menjelaskan mengapa meminta bajet lebih tinggi iaitu RM67.8 juta dan lebih penting, selepas EPU menolak kenaikan bajet, mengapa KKM gagal bertegas mahu meneruskan projek itu mengikut kos asal RM45 juta? "Alasan digunakan untuk mewajarkan pembatalan projek itu menjadikan proses belanjawan kerajaan satu penghinaan dan bercanggah janji-janji dilakukan Perdana Menteri di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), menjadikan pelan induk RMK negara sebagai dokumen tidak penting dan tanpa kesan," katanya.

Beliau ditemui bersama sekumpulan penduduk yang mengadakan bantahan pembatalan projek Klinik Kesihatan USJ1 di Jalan Subang 3, Subang Jaya di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng. Chen berkata, sebelum ini beliau menerima jawapan bertulis daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai status Klinik Kesihatan USJ1 di Dewan Rakyat baru-baru ini. "Saya telah menerima jawapan bertulis dari Khairy yang menyatakan walaupun projek diluluskan dalam RMK12 namun dibatalkan EPU kerana kosnya terlalu tinggi," katanya.

Chen menambah, ketidakupayaan KKM dan EPU untuk menyelesaikan perkara ini secara logik dan meneruskan projek pada bajet asal RM45 juta menunjukkan satu kegagalan komunikasi dan kerjasama teruk dua kementerian.

Beliau turut memaklumkan, permohonan bagi mewujudkan Klinik Kesihatan USJ1 telah berlarutan lebih sedekad lalu malah penduduk Subang lama bersabar agar hasrat mereka dapat ditunaikan.

"Saya ingin mengingatkan kerajaan bahawa dalam bancian terkini 2020, jumlah penduduk Parlimen Subang berjumlah 478,000 orang dan tidak ada satu pun hospital kerajaan atau klinik kesihatan di dalam kawasan ini," katanya. Sehubungan itu, beliau meminta Perdana Menteri agar campur tangan secara peribadi untuk menyelesaikan kekusutan belanjawan dan pentadbiran antara EPU dan KKM sekali gus dapat memastikan projek asal dengan kos RM45 juta dapat diteruskan seperti dijanjikan di bawah RMK12.

Sementara itu, Michelle berkata, tiada gunanya membelanjakan begitu banyak masa dan sumber kewangan dalam sesi libat urus dan mesyuarat jika kerajaan tidak akan menunaikan rancangannya.

"Keputusan penting sebegini juga tidak patut dibuat secara pentadbiran sahaja," tambahnya. Beliau berkata, sebanyak 10 peratus daripada penduduk Subang Jaya terdiri daripada golongan miskin bandar dan mempunyai penduduk dalam golongan semakin tua (aging population).

Menurutnya, menjelang tahun 2025, sebanyak 10 peratus penduduk Subang Jaya juga akan terdiri daripada golongan warga emas dan bilangan ini dijangka terus meningkat melalui masa.

"Dengan populasi 480,000, golongan-golongan tersebut merangkumi kira-kira 96,000 orang penduduk. "Oleh itu, jelas daripada angka ini bahawa Subang Jaya layak untuk menikmati kemudahan Klinik Kesihatan Jenis 3 yang dirancang, yang mana direka untuk memberi perkhidmatan kepada kawasan liputan lebih 30,000 hingga 50,000 orang.

"Golongan miskin bandar dan warga emas adalah golongan yang amat memerlukan kemudahan perubatan kerajaan, memandangkan status kewangan seisi rumah mereka, cabaran dari segi mobiliti dan keadaan kesihatan secara amnya lebih memerlukan perhatian," katanya.