top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Debate on the Independent Police Conduct Commission Bill 2020

On the 26th of July 2022, YB Wong Chen, who was slated to debate the Independent Police Conduct Commission Bill 2020, was unable to do so as time did not permit it. The following is the speech he intended to present during that debate. 1. Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi saya peluang untuk membahas Rang Undang-Undang ini. Rang Undang-Undang ini telah lama dinanti-nantikan dan akhirnya kita di sini.

2. Untuk mempunyai sebuah Suruhanjaya Bebas adalah tersangat penting. Tetapi, isu pokoknya, adakah Suruhanjaya ini memang bebas atau tidak?

3. Pertama, ahli-ahli Suruhanjaya ini merupakan lantikan. Hal ini bergantung kepada cara keahlian Suruhanjaya dipilih. Jika komposisi Suruhanjaya dilantik atas nasihat Perdana Menteri, kita mungkin menghadapi masalah.

4. Kita menyokong peranan Yang di-Pertuan Agong kerana baginda adalah Raja Berperlembagaan, tetapi kita mungkin akan ada masalah dengan lantikan-lantikan yang dibuat oleh Perdana Menteri.

5. Saya mencadangkan sekurang-kurangnya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi, jika dipilih melalui nasihat Perdana Menteri, ia memerlukan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk memeriksa pelantikan ini dan Jawatankuasa mesti mempunyai hak untuk veto calon yang dicadangkan oleh Perdana Menteri untuk jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi.

6. Itulah yang paling minimum yang boleh kita lakukan untuk memastikan Suruhanjaya ini, yang disebut-sebut sebagai Suruhanjaya yang bebas, benar-benar bebas dari segi itu.

7. Satu lagi masalah Rang Undang-Undang ini ialah Suruhanjaya boleh membenarkan wakil dari pejabat Ketua Polis Negara untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat. Bagaimana jika Suruhanjaya itu sedang menyiasat KPN sendiri, atau Timbalannya atau Ketua Jabatan?

8. Mesyuarat mestilah berlangsung tanpa sebarang campur tangan anggota polis sedia ada untuk memberikan kredibiliti penuh kepada mesyuarat dan penyiasatan Suruhanjaya.

9. Sekarang, kita ke Fasal 5 mengenai kuasa penyiasatan. Kuasa penyiasatan ini - saya ingin tahu - berapa ramai pegawai yang akan bekerja dengan jawatankuasa ini? Adakah 10 orang atau 50 orang? Adakah bajet ini RM1 juta atau RM50 juta setahun? Tolong beritahu kita.

10. Kita tidak boleh mempertimbangkan kuasa penyiasatan Suruhanjaya tanpa mengetahui bilangan orang berkuasa yang menyiasat.

11. Jadi sila bertanggungjawab, jangan datang ke Parlimen sahaja, kata, "Rang Undang-undang ini melibatkan perbelanjaan kewangan tambahan." tetapi tak beritahu kita berapa kos anggaran.

12. Dengan izin, for example, if this commission has a small budget for only 10 officers, how many investigations can 10 officers carry out in a year? Terdapat 142,000 anggota polis di negara kita. Katakan 1% polis telah melakukan salah guna kuasa, maknanya terdapat 1400 kes.

13. Bolehkah 10 pegawai menyiasat semua kes itu? Give us the actual plan and budget.

14. Sekarang, tentang Fasal 33 - mengenai ancaman terhadap orang yang memberi keterangan. Untuk mendapatkan pemberi maklumat atau whistleblower untuk datang dan mendedahkan salah laku polis adalah sangat sukar.

15. Tak ramai orang yang cukup berani untuk berdepan dengan polis. Namun, dengan Rang Undang-undang ini, kerajaan mengatakan bahawa jika seseorang mengancam saksi, mereka hanya boleh didenda RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

16. Fasal 33 ini tidak banyak melindungi saksi. Ia boleh menggalakkan pegawai polis yang sedang disiasat untuk mengugut saksi kerana kalau kena tangkap dia mungkin hanya perlu membayar RM10,000 sahaja.

17. Tetapi kerajaan mencadangkan bahawa jika saksi memberi maklumat palsu, mereka didenda dan dihukum lebih berat daripada orang yang mengancam seseorang saksi.

18. What is this? Is this a Bill designed to investigate witnesses against the police or is it designed to investigate police misconduct?

19. Mengenai kewajipan kerahsiaan di bawah Fasal 42, saya tidak setuju. Selepas Suruhanjaya menyiasat polis, suruhanjaya akan merahsiakan perkara ini daripada orang ramai.

20. Sebenarnya, Suruhanjaya harus bertanggungjawab untuk mendedahkan penemuan mereka kepada rakyat dan lebih penting mendedahkan apakah saranan disciplinary mereka.

21. Ini adalah supaya jika tindakan yang akhirnya diambil oleh KPN tidak mengikut saranan Suruhanjaya, maka dunia perlu tahu bahawa KPN dan pasukan polis memang tidak mendengar Suruhanjaya. Seterusnya KPN akan bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengapa mereka tidak mengikut saranan tersebut.

22. Kewajipan untuk merahsiakan dalam RUU ini memang bertentangan dengan konsep transparency dan accountability, jadi klausa ini perlu dikeluarkan.

23. Akhir kata, di Subang kita memang bekerja rapat dengan kedua-dua OCPD kita. Community policing di Subang adalah yang terbaik, efektif, profesional dan prihatin dengan keperluan rakyat. RUU ini tidak menekan polis-polis yang baik di Subang.

24. Kepada Tuan-tuan polis yang mendengar ucapan saya, saya ingin merayu supaya tuan-tuan semua faham bahawa RUU ini adalah untuk memastikan elemen-elemen jahat di dalam polis didisiplinkan supaya reputasi baik majoriti pegawai-pegawai polis terlindung.

25. Dengan itu, saya akhiri ucapan saya. Sekian terima kasih.


bottom of page