• Free Malaysia Today

Kembali aktif dalam politik, Wong Chen beritahu Rafizi

Oleh Samuel Chua, Free Malaysia Today (7 Mac 2022) PETALING JAYA: PKR memerlukan Naib Presidennya Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam politik dan meningkatkan peluang parti itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Ahli Parlimen Subang, Wong Chen. Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan berundur daripada politik pada Disember 2019 kerana ingin memberi tumpuan kepada projek syarikat pemula niaga. Katanya, pada tahap kehidupan ini, beliau “perlu belajar”.

Menurut Wong Chen, “Rafizi adalah ahli politik yang terbukti, pejuang yang terbukti dan pemidato yang hebat. Ia membantu membina imej baik parti, jadi kita memerlukan orang seperti ini untuk kembali kepada parti.”

“Saya harap beliau akan kembali nanti tetapi beliau masih belum membuat keputusan. Bagaimanapun yang pastinya beliau akan menjadi bonus buat PKR.”

Wong Chen berkata, “bonus” seperti ini akan melihat peluang PKR pada PRU15 menjadi “sama atau lebih baik” berbanding pada PRU 2018 yang lalu apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi kuasa dalam kerajaan persekutuan.

Penyokong Rafizi baru-baru ini mendesak agar beliau kembali aktif dalam politik selepas Malaysiakini memetiknya sebagai berkata, beliau mengambil kira beberapa faktor sebelum membuat keputusan.

Rafizi juga dilihat sebagai pencabar untuk jawatan Timbalan Presiden yang kosong dan kali terakhir disandang oleh Azmin Ali, yang dipecat susulan langkah Sheraton hingga membawa kepada kejatuhan kerajaan PH pada 2020.


Bagaimanapun, pemimpin PKR kelihatan berbelah bahagi mengenai prospek kepulangan Rafizi, dengan segelintir daripada mereka seperti Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Zainol Abidin Mohamed mengkritik keputusannya bersara daripada politik.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi menyambut baik sekiranya Rafizi kembali aktif berpolitik kerana mampu berperanan membantu memperkukuhkan parti.