• Office of YB Wong Chen

Najib, fokus kepada mengatasi gejala rasuah dan kemiskinan

Bernama baru sahaja melaporkan nasihat Perdana Menteri supaya golf dijadikan “sukan rakyat”.

Saya nak nasihat Najib supaya kurangkan fokus kepada perkara elitis seperti main golf dan shopping dan lebih fokus kepada kerja mengatasi gejala rasuah dan kemiskinan.

8 Februari, 2015.

Golf harus jadi sukan rakyat, kata Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu golf bukan saja menjadi sukan elit malah diperluaskan sebagai sukan rakyat yang boleh dinikmati lebih ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, sepatutnya semua lapisan rakyat negara ini boleh bermain golf dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia muncul sebagai pemain golf terkemuka pada masa akan datang.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Persatuan Golf Malaysia (MGA) kerana memulakan program bagi menggalakkan golf di peringkat sekolah dengan 11 sekolah kini mengambil bahagian dalam program ini.

“Saya memberi RM2 juta kepada MGA untuk mempromosi golf di peringkat sekolah dan saya bersedia menyumbang lebih banyak lagi pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis penyampaian hadiah Kejohanan Golf Terbuka Maybank Malaysia 2015 di Kuala Lumpur Golf dan Country Club (KLGCC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Anirban Lahiri dari India menjuarai kejohanan itu dengan membawa pulang trofi dan AS$500,000 yang disampaikan Najib di lubang ke-18 lapangan golf KLGCC.

Mengenai kejohanan itu yang bermula Khamis lepas, Najib berkata ia menarik minat kira-kira 450 juta penonton di seluruh dunia untuk menyaksikan permainan yang amat menarik itu.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada pemain golf negara Danny Chia yang muncul sebagai pemain terbaik Malaysia pada kejohanan itu dan Gavin Kyle Green yang dinobatkan sebagai pemain amatur terbaik kejohanan itu.

“Kita melihat semakin ramai pemain profesional Malaysia bersaing pada peringkat tertinggi pada masa akan datang,” katanya.

Najib juga memuji Maybank kerana menjadi penaja utama yang sangat baik sejak 10 tahun acara itu diadakan.

“Tahun ini, hadiah wang tunainya lebih banyak dan saya berharap ganjarannya menjadi lebih besar pada tahun mendatang,” katanya. – Bernama, 8 Februari, 2015.

#Golf #najib #PrimeMinister