top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Perbahasan Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018

Terima kasih, Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua memberi saya peluang untuk membahas Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 ini. Ucapan saya, saya prepare 10 minit sebab biasanya sebelah sana kacau saya lima minit, sepuluh minit. Jadi kalau behaviour itu bagus, baguslah ya, kita teruskan.

Di pejabat saya memang mempunyai banyak pelatih ataupun interns. Biasanya saya memberi dorongan kepada pelatih-pelatih saya dalam isu dasar-dasar ekonomi dan rang undang-undang yang akan dilaksanakan. Dalam latihan yang saya berikan kepada interns saya, saya selalu meminta pelatih-pelatih saya meneliti empat perkara dalam semua dasar.

Perkara pertama, apakah masalah sebenarnya yang dihadapi.

Perkara kedua, apakah solution yang terbaik.

Perkara ketiga, apakah isu bajet ataupun implikasi kewangan kepada apa-apa rang undang-undang.

Keempat, apakah isu implementasi undang-undang tersebut.

Tuan Yang di-Pertua, saya bermula dengan isu pertama iaitu apakah masalah yang sedang dihadapi dan apakah sebenar matlamat Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018. Bagi saya secara mikro kita menghadapi dua masalah dan dua-dua masalah ini bertentangan.

Pertama masalah fiskal di mana jelas sekali keborosan dan rasuah kerajaan lama telah menimbulkan satu situasi fiskal yang ketat di mana hutang negara telah mencecah lebih kurang RM720 bilion pada hari ini. Ia RM695 bilion tahun lalu. Kalau kita lihat bon-bon terbaru itu lebih kurang pada pemikiran saya tidak sampai RM720 bilion.

Oleh kerana ketirisan dan budaya rasuah yang tidak terkawal pada masa itu. Maka Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2014 telah melaksanakan sistem GST di mana GST memberi pendapatan ataupun hasil sebanyak RM43 bilion, RM44 bilion pada tahun 2017. Itu adalah masalah yang dihadapi oleh kerajaan sekarang juga.

Masalah fiskal yang bertentangan dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat iaitu kos sara hidup yang tinggi. Rakyat di bawah sistem GST perlu membayar cukai sebanyak RM43 bilion, RM44 bilion setahun berbanding dengan sistem SST sebelum 2014 iaitu cukai yang cuma mengenakan rakyat sebanyak RM16 bilion sahaja.

Jadi sejak GST diperkenalkan lebih kurang RM27 bilion telah dikeluarkan daripada tangan rakyat setiap tahun dan diberi kepada Kerajaan Pusat. Ini telah mengakibatkan sengsara kepada rakyat yang termiskin dan juga melembapkan economic consumption. Kawan baik saya dari PAS tadi memang betul pandangan dia. Jadi masalah sekarang yang dihadapi kita Dewan yang mulia ini adalah kedudukan fiskal yang lemah bertentangan dengan kehendak rakyat untuk menurunkan kos sara hidup mereka. Jadi perkara kedua ialah, adakah solution yang dibentangkan oleh kawan baik saya Yang Berhormat Bagan, Menteri Kewangan adakah ini satu sistem yang terbaik. Bagi saya apabila kita mencampurkan kedua-duanya cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang kita akan bincang selepas ini, ini menimbulkan satu sistem baru SST yang saya rasa adalah solution yang terbaik.

Saya dengar dengan teliti tadi Yang Berhormat Rembau yang juga peka kepada banyak opinions dalam cyber space dan juga dengan surat khabar. Ada yang katakan kita kena pelihara GST cuma menurunkan kadarnya kepada tiga peratus atau dua peratus. Cadangan ini adalah cadangan pada- kalau kita nampak sahaja dari segi persepsi nampaknya okey. Akan tetapi, ia tidak akan menukarkan fakta bahawa GST adalah cukai yang regresif.

Cadangan untuk kadar GST diturunkan nampak juga ada positif aspek iaitu peniaga tidak perlu tukar system reporting pada kerajaan. Akan tetapi, system reporting SST adalah jauh lebih baik dan lebih senang dan lebih murah kepada peniaga. Kalau dia murah kepada peniaga ia baik kepada consumer dan tidak menukar fakta bahawa isu yang paling penting isu fundamental ialah cukai GST tetap regresif. Regresif bila kita cakap ini bermakna orang kaya secara relatif tidak rasa sangat beban pada GST tapi orang miskin akan terus menerima dalam bahasa Inggeris dengan izin the brunt of it.

Oleh itu saya rasa hanya menurunkan kadar GST tidak boleh menyelesaikan masalah regresif yang fundamental. Sekiranya GST dikurangkan kepada tiga peratus atau dua peratus kita perlu menambahkan balik social safety net kepada golongan B40. Ini akan menyebabkan fiskal problem yang baru. Maknanya kalau kita buat dua peratus, tiga peratus boleh tapi kita kena tambah duit. Sama ada dalam bentuk BR1M atau bentuk lain. Kita kena tambah. Jadi tidak kita lari daripada isu fiskal.

Apakah ini bermakna kita tidak akan mengamalkan cukai GST pada kelak hari? Pendapat saya GST boleh diamalkan tetapi di masa hadapan. Proviso ia financial ecosystem untuk menyokong GST perlu dibina dahulu iaitu pendapatan rakyat khususnya gaji minimum dan pendapatan B40 perlu naik. Dengan kenaikan gaji pekerja-pekerja B40 golongan ini akan membayar personal income tax dan daripada 14 juta pekerja kita kalau separuhnya 50 peratus mampu bayar personal income tax maka itulah tiba masanya untuk mengkaji semula sama ada proposal untuk membawa balik GST.

Pada hari ini cuma 15 peratus daripada pekerja kita, 14 juta pekerja kita yang boleh bayar income tax. Jadi maknya pada hari ini tidak ada ekosistem untuk menyokong pelaksanaan GST. Bagi saya, saya rasalah dari segi ekonomi dalam lima tahun ini Kerajaan Pakatan Harapan perlu menaikkan gaji pekerja-pekerja B40 Malaysia. Saya berharap Menteri Kewangan boleh mengambil kira dalam perkara ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya akan meneruskan perbahasan saya kepada perkara ketiga. Apakah implikasi kewangan rang undang-undang ini? Dari segi fiskal kerajaan akan hilang hasil sebanyak- katakanlah RM20 bilion setahun. Kalau kita bahagiakan 12 bulan, maknanya setiap bulan kerajaan defisit adalah lebih kurang RM1.66 bilion sebulan. Bolehkah Kerajaan Pakatan Harapan menanggung kehilangan hasil ini sebanyak RM1.66 bilion sebulan?

Pada pendapat saya memang boleh tetapi Kerajaan Pakatan Harapan perlu mengambil satu pendirian yang tegas dan penuh political will untuk membanteras rasuah dan ketirisan. Saya berharap bahawa Menteri kita, semua Menteri kita akan mengambil satu austerity drive di mana mereka memotong kos operasi kementerian-kementerian mereka.

Saya juga berharap procurement policy yang lebih telus dan diamalkan open tenders supaya kos pentadbiran boleh menurun. Jangan buat macam yang dulu, rombongan Menteri tolong diseparuhkan protokol dikurangkan, jangan tinggal di hotel seperti St. Regis, duduk di Hilton cukup. Bagi saya, dengan austerity drive daripada semua kementerian, saya percaya kita boleh menanggung kehilangan hasil RM1.66 bilion sebulan daripada implementasi SST ini.

Apa pula impak kewangan kepada ekonomi? Impak kewangan pada rakyat ialah rakyat akan berjimat lebih kurang RM20 bilion setahun. Oleh itu, rakyat boleh gunakan RM20 bilion ini untuk merancakkan ekonomi melalui consumption. Ini adalah logical computation iaitu RM20 bilion yang dia jimat, akan dia buat consumption, balik kepada market. Implikasinya, ekonomi kita akan bertambah lebih baik, lebih kuat. Implikasi kesejahteraan kepada rakyat ialah hidup mereka lebih ceria, lebih senang.

Tuan Yang di-Pertua, apabila, kita menolak tepi jargons ekonomi ataupun teori-teori ekonomi dan fokus kepada fundamental issue bidang ekonomi, matlamat ekonomi ialah untuk menjana kesejahteraan kepada rakyat. Dengan izin, if we strip away all the economic theories, the fundamental purpose of economic management is to generate the greatest level of happiness for the people. SST sekiranya dilakukan bersamaan dengan anti-corruption drive, austerity drive dan juga peningkatan gaji minimum, ini semua akan generate the greatest happiness for the rakyat. Jadi apabila kita berdebat tentang isu rang undang-undang ini, saya minta semua Ahli Dewan ini untuk look at the bigger picture and understand where the SST lost fit into the overall agenda of Pakatan Harapan. Kawan baik kita daripada GPS, saya harap you can understand what we are trying to do.

Tuan Yang di-Pertua, saya sampai ke isu terakhir iaitu isu tentang implementasi. Di sinilah kita perlu berwaspada dan memberi fokus yang terperinci dalam jangka masa setahun yang akan datang ini. Pertama, saya hendak minta Menteri untuk memberi satu jawapan sama ada daripada segi implementasi, apakah grace period yang kerajaan akan beri kepada peniaga-peniaga untuk comply dengan sistem baru ini?

Kedua, saya rasa Menteri perlu memberi penjelasan yang terperinci mengenai senarai barang-barang yang kerap dipakai oleh keluarga-keluarga B40 yang tidak akan kena GST. The devil is in the details, dengan izin. Saya harap senarai ini sedia ada. Kalau tidak, tolong mempercepatkan satu laporan khas impak SST kepada golongan rakyat B40.

Daripada segi enforcement pula, saya berharap kita mempunyai satu yardstick yang boleh memastikan pengilang-pengilang ataupun service providers tidak under-declare jualan mereka untuk menipu kerajaan daripada segi pembayaran penuh cukai SST. Saya setuju dengan apa yang ditimbulkan oleh rakan-rakan saya sebelah sana bahawa ada isunya tentang under declaration. Jadi, kita mintalah Menteri untuk buat kerja penuh dan pastikan tidak ada penyelewengan yang berlaku. Isu implementasi akan decide, dengan izin, whether this fiscal reform will actually produce positive result or not for the people.

Daripada segi dasar dan teori, saya sokong bahawa SST adalah lebih baik daripada GST. But the final test of the pudding is in the eating. Di sinilah Dewan ini perlu memantau dengan lebih diligent isu-isu implementasi SST.

Saya mengakhiri perbahasan saya meminta satu komitmen daripada Menteri untuk memastikan terdapatnya quarterly reports on the implementation of SST diterbitkan kepada Dewan ini supaya kita boleh memantau dalam jangka satu tahun implementasi ini, ia boleh dilakukan dengan baik dan tidak memudaratkan rakyat. Itu sahaja perbahasan saya, terima kasih.

bottom of page