top of page
Writer's pictureYB Wong Chen

Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2014

Terima kasih. Salam sejahtera dan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi saya peluang untuk berucap dan berbahas dalam rang undang-undang ini.


Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bermula dengan menyentuh dua perkara dasar secara am mengenai cukai. Selepas itu saya akan fokus kepada isu-isu berkenaan dengan rang undang-undang ini. Yang pertama, saya ingin bahas sedikit mengenai Capital Gains Tax. Enam bulan lalu, sebuah buku yang bertajuk Capital in the Twenty-First Century oleh Thomas Piketty telah menjadi topik perbincangan yang rancak sekali di antara pakar-pakar akademik dan ekonomi dunia. Penyelidikan yang telah dijalankan oleh Piketty dan rakan-rakannya tentang aset dan kekayaan adalah dengan izin ground breaking. Buku itu telah mengkritik sistem cukai di bawah model ekonomi hyper-capitalist neoliberal yang pada masa kini adalah penyebab utama jurang pendapatan di antara yang maha kaya dan yang miskin.


Jika kita tidak mula memikirkan semula sistem cukai kita dan beralih daripada fikiran ‘neoliberalisme’ ini, sistem hyper-capitalist ini akan menyebabkan ketidakstabilan sedunia yang ketara. Isu ketidakadilan akan menjadi-jadi dan dengan itu kita bakal mengalami dengan izin, satu kelas warfare yang baru. Hakikatnya pada jangka masa pertengahan panjang mungkin dalam lingkungan 10 tahun ini, ketidakstabilan ini akan menyebabkan kerugian besar kepada masyarakat sejagat. Sekiranya perbelanjaan pengguna (consumer spending) menjunam turun, perniagaan, ekonomi dan pekerjaan pada keseluruhannya akan roboh bersama.


Oleh yang demikian, saya ingin tahu berdasarkan buku Thomas Piketty, sama ada Yang Berhormat Menteri sedia membuat kajian semula yang lebih lengkap terhadap dasar cukai Malaysia terutamanya memberi pertimbangan mengenai isu dengan izin, capital accumulation dan khasnya Capital Gains Tax.


Saya meminta Kementerian Kewangan untuk mewujudkan satu forum berhubung dengan isu ini dan mempertimbangkan apa yang sedang berlaku di pentadbiran Obama yang mengambil kira isu ini dengan serius sekali. Kajian akademik terhadap buku Thomas Piketty dan mereka cuba menghasilkan dasar cukai yang baru untuk Amerika.


Kita memerlukan penglibatan pakar-pakar fiskal dan ekonomi tempatan untuk memberi input terhadap perkara ini. Tuan Yang di-Pertua, perkara kedua, perkara dasar kedua yang saya ingin timbulkan ialah mengenai cukai waris ataupun inheritance tax. Saya memerhatikan bahawa Malaysia tidak mempunyai cukai waris atau inheritance tax. Di negara-negara yang mempunyai ekonomi yang lebih maju yang menggambarkan sistem demokrasi yang lebih elok daripada kita, kebanyakannya mempunyai cukai waris ataupun cukai warisan. Apakah kepentingan cukai ini? Apakah matlamatnya?


Cukai waris adalah satu dasar yang boleh memastikan mobiliti sosial. Mobiliti sosial bermakna sistem politik dan ekonomi kita membenarkan seseorang walaupun berasal daripada latar belakang miskin untuk berjaya menaikkan taraf hidup beliau sekiranya beliau pandai dan rajin bekerja. Di dalam Dewan pada hari ini saya rasa memang ramai Ahli-ahli Dewan adalah daripada golongan latar belakang yang miskin, sekarang sudah berjaya menjadi Ahli Parlimen.


(sambung)


Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung daripada point saya tadi tentang mobiliti sosial ya. Tuan Yang di-Pertua, konsep mobiliti sosial ini seperti saya kata tadi, Dewan ini kebanyakannya, saya rasa Ahli-ahli Parlimen daripada latar belakang kurang kayalah ya. Daripada tengah hari ini kita tengok tidak banyak Backbenchers pun, tapi konsep ini penting ya. Konsep ini penting sebab ia bermaksud bahawa sekiranya seorang itu anak orang kaya, dia tidak bekerja, dia suka joli, dia malas, dia buat yang tidak baik. Maknanya, sekiranya ada sosial mobiliti, dia boleh menjadi miskin. Dalam kata lain, cukai waris adalah alat untuk mewujudkan satu sistem ekonomi yang lebih meritokratik.


Kebelakangan ini saya terbaca akhbar mengenai ketua keluarga Samsung, handphone maker Samsung itu yang sakit tenat. Beliau mempunyai harta sebanyak lebih kurang USD12 bilion. Korea Selatan mengamalkan sistem cukai waris. Anakanak ketua keluarga Samsung sekarang menghadapi kemungkinan cukai waris sebanyak 50% iaitu lebih kurang USD6 bilion yang perlu dibayar sekiranya ketua Samsung itu meninggal. Cukai ini tidak dipandang rendah oleh masyarakat Korea Selatan. Sebaliknya, ia disokong oleh orang ramai termasuk yang kaya sebagai sistem yang adil demi matlamat memberi sosial mobiliti kepada masyarakat.


Oleh itu, saya juga menyeru Yang Berhormat Menteri memberi pandangan serius kepada isu cukai waris kerana negara ini banyak juga mempunyai orang maha kaya. Sebahagian daripada golongan maha kaya ini merupakan usahawan yang sejati. The real genuine entrepreneurs. Akan tetapi malangnya di Malaysia, lebih banyak lagi merupakan kroni-kroni. Pada persidangan Parlimen yang lalu, kita semua dengar Yang Berhormat Kinabatangan berani memarahi YTL di dalam Dewan ini. Dia kata kroni ini, “Bagaikan kacang yang melupakan kulit”.


Tuan Yang di-Pertua, isunya sekarang, ramai golongan maha kaya, billionaire di Malaysia ini seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh, sudah mencapai usia yang cukup tua, sudah bersara dan mungkin akan meninggal dunia tidak lama lagi sebab dia sudah tua. Golongan maha kaya ini mencapai kekayaan mereka pada tahun 1980-an dan 1990-an. Sekarang mula berada dalam lingkungan usia 70-an tahun ke atas. Adakah kerajaan akan membenarkan mereka untuk memberi kesemua kekayaan mereka kepada anak-anak mereka tanpa apa-apa bentuk cukai? Ini adalah satu persoalan moral yang mesti dibahaskan dan diberi perhatian oleh orang ramai.


Sekiranya cukai waris kita tetapkan pada tahap 10% ke 30% dikenakan terhadap golongan maha kaya ini, pendapatan kerajaan boleh meningkat berbilionbilion setahun. Oleh itu saya meminta Yang Berhormat Menteri Kewangan memberi pendirian kerajaan mengenai perkara ini. Tuan Yang di-Pertua, sekarang kita sampai kepada, dengan izin, the main event. Akan tetapi dengan adanya pindaan dalam jawatankuasa pagi ini, nampaknya isu kontroversi tentang panel pelaburan telah selesai sudah. Memang rakyat bersyukur pada pindaan tarik balik ini, panel pelaburan ini, pada last minit. Akan tetapi selama empat bulan sejak bulan Jun, rakyat diseksa oleh pindaan ini. Kita tidak tahu pindaan ini akan berterusan atau tidak. Akan tetapi kita tahu panel pelaburan ini membawa keburukan yang teruk sekali.


Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya hendak ambil kesempatan ini memberi sedikit nasihat baik kepada YAB Menteri Kewangan. Kalau hendak tarik balik panel pelaburan, dengan izin, do it like a man. Tarik balik secara terbuka. Beritahu media secara terbuka. Jangan lindungi di bawah Jawatankuasa Parlimen untuk buat penarikan balik secara senyap-senyap. Akan tetapi isunya di depan kita, memang sudah tarik balik tapi isunya ialah satu percubaan telah dilakukan. Percubaan untuk membuat satu panel pelaburan dan percubaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa YAB Menteri Kewangan cuba membolot kuasa Wang Kumpulan LHDN melalui panel pelaburan.


Percubaan ini perlu didedahkan dan perlu dibincangkan di dalam Dewan ini supaya rakyat akan memastikan ia tidak akan berlaku lagi. Dengan izin, we need to expose and discuss this devious attempt to defer, to make sure that any future attempts by the Finance Minister is defeated in this House. Tuan Yang di-Pertua, apabila saya melihat percubaan pindaan ini dan saya Tuan Yang di-Pertua, adalah seorang peguam korporat dengan experience 24 tahun, saya lihat cara ia dibuat itu pandai sekali draftingnya, cara drafting dibuat. Sesiapa yang merancang percubaan ini nampaknya terlalu pandai kerana matlamatnya ialah untuk menubuhkan satu badan pelaburan baru secara senyap atau melalui pintu belakang. Dengan izin, this is a devious attempt to create a sovereign fund on the quiet via the back door.


Tuan Yang di-Pertua, undang-undang LHDN yang sedia ada sekarang. Bukan pindaan ya. Yang sedia ada sekarang, seksyen 23 membenarkan pembentukan satu Kumpulan Wang Lembaga. Dalam fasal ‘23(2)(b)’, Kumpulan Wang Lembaga ini boleh menerima wang melalui pemberian wang ataupun dalam bahasa Inggeris, the fund of the Board can receive all moneys by way of grants. Grants atau pemberian Tuan Yang di-Pertua, adalah wang yang diberi tetapi tidak perlu dibayar balik. Pemberian ini sekarang di dalam kuasa Yang Berhormat Menteri Kewangan. Ini adalah situasi undang-undang sekarang sebelum percubaan pindaan ini. Kuasa untuk membesarkan dana kumpulan wang ini adalah kuasa mutlak Yang Berhormat Menteri Kewangan sekarang. Percubaan ini bila kita kaji semula, kalau kita gabungkan tiga perkara, yang pertama fasal 23 - kuasa mutlak Menteri Kewangan memberi pemberian, grants. Kedua, fasal 27A yang ditarik balik tadi untuk melantik enam daripada tujuh panel pelaburan terdiri daripada appointment daripada Yang Berhormat Menteri Kewangan sendiri.


Ketiga, fasal 28 - kuasa mutlak Menteri Kewangan melabur apa-apa yang dia suka di bawah langit.


Ketiga-tiga ini menimbulkan satu situasi yang kita katakan tadi creation of investment fund secara backdoor. Apa yang sangat merunsingkan adalah investment fund ini kononnya milik LHDN tetapi apabila kita baca teliti percubaan ini kita tengok semua kuasa mutlak ini akan dimasukkan ke tangan Menteri Kewangan.


Inilah perkara yang semua surat khabar menulis The Edge, The Sun, The Financial Daily, New Straits Times of Singapore, antarabangsa Reuters kebimbangan salah guna kuasa, “the fear of massive abuse of power”. Ini bukan cerita kecil sebab menjadi headline di surat-surat khabar tersebut. Pindaan ini juga dibantah oleh pakarpakar ekonomi tempatan terkenal termasuk ex-CIMB Chief Economist, Lee Heng Guie dan Dr. Yeah Kim Leng, Business School Malaysia University of Science and Technology, ‘Profesor Mukul Asher’ - pakar kewangan fiskal terkemuka di rantau ini juga melahirkan kebimbangan yang ketara.


Tuan Yang di-Pertua, percubaan ini sangat merunsingkan rakyat. Ini bukan soal personal attack terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan tetapi kalau kita Ahli-ahli Dewan yang mulia ini ingin memberi kuasa mutlak kepada seseorang pun, kita kena mengenal pasti seseorang itu mempunyai track record yang baik. Jadi Tuan Yang di-Pertua, dalam konteks isu pelaburan, dalam konteks lain kita tidak boleh challenge track record Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan tetapi dalam konteks isu pelaburan track record Yang Amat Berhormat Pekan selaku Menteri Kewangan sebagai Ketua Advisory Board 1MDB adalah sangat tidak memuaskan. Ini saya rasa semua di Dewan ini tidak mempertikaikan.


1MDB kononnya duit rakyat tetapi akaun kewangan 1MDB penuh dengan misteri. Tiap-tiap berapa bulan mesti ada isu skandal besar yang memalukan negara kita. Tuan Yang di-Pertua, financial newspapers from around the world, Financial Times, Bloomberg, Reuters, Wall Street semua memberi pandangan yang sangat negatif terhadap isu governance 1MDB. Malah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pun sering kecam pengurusan 1MDB. Apakah isu-isunya di dalam 1MDB ini? Banyak sekali.


Bayaran keterlaluan kepada Goldman Sachs sebanyak USD500 juta seperti yang dilaporkan di dalam Bloomberg dan Reuters itu satu isu, penjualan berbilion-bilion sovereign backed bonds secara rahsia melalui private placement itu isu besar, berbilion-bilion disimpan di Cayman Island untuk apa itu kita tidak tahu sekarang. 1MDB tukar auditor macam tukar bajulah. Kalau tidak baik itu kita kata macam tukar seluar dalam, betul? Akaun kewangan lewat satu setengah tahun, bayar berbilionbilion kepada Petrol Saudi tetapi sehingga sekarang kita tidak tahu apa perniagaan sebenarnya Petrol Saudi. Cerita sensasi juga ada, siapa itu Jho Low yang katanya ada kaitan dengan 1MDB? Berkawan rapat dengan keluarga Yang Amat Berhormat Pekan.


Perniagaan 1MDB juga banyak dapat kontroversi. Beli aset IPP ataupun penjana kuasa yang lama yang sudah dekat hendak rosak, teknologinya ketinggalan zaman, dengan izin hendak condemn dengan harga yang sangat mahal daripada Genting dan Ananda Krishnan. Dapat projek IPP baru tidak payah tender, negotiated. Dapat tanah di TUDM, curi daripada tentera kita secara percuma kemudian buat revaluation.


Tuan Yang di-Pertua, pesanan saya bukan hendak hentam Yang Amat Berhormat Pekan tetapi pesanan saya cukuplah dengan kuasa-kuasa mutlak di dalam isu pelaburan dengan track record buruk seperti di 1MDB, Yang Amat Berhormat Pekan dinasihati supaya kurangkan campur tangan dalam perkara pelaburan, okey. Cara yang lebih baik dan efektif bagi sahaja pada EPF ataupun Khazanah, pakar-pakar pelaburan lain yang lebih bijak untuk kendalikan Kumpulan Wang LHDN.


(sambung)


Terima kasih Yang Berhormat Bayan Baru. Ya, memang saya setuju dengan pendapat Yang Berhormat Bayan Baru tadi. Memang terdapat satu conflict of interest. Kalau kita kaji seksyen baru 28A itu yang tidak ditarik balik yang masih kekal dalam pindaan ini, kita tengok bahawa memang LHDN mempunyai kuasa untuk membuat satu perniagaan baru ataupun syarikat baru untuk membuat program-programnya dan ini akan menimbulkan satu situasi conflict of interest seperti apa Yang Berhormat Bayan Baru katakan itu dan juga apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Bagan tadi. Jadi oleh itu, saya terima pendapat dia dan saya setuju dan kalau dibenarkan, saya hendak gulung sekarang.


Tuan Yang di-Pertua, dengan panel pelaburan yang telah ditarik balik, saya juga menyokong pindaan ini dengan syarat seksyen 28A itu dibuangkan. Terima kasih.


댓글


bottom of page