• Free Malaysia Today

PRN Johor: PKR guna logo sendiri bukan luar biasa, kata Wong Chen

Oleh FMT Reporters (26 Januari 2022) PETALING JAYA: Keputusan PKR tidak menggunakan logo Pakatan Harapan (PH), sebaliknya menggunakan logo parti sendiri menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti bukanlah tindakan luar kebiasaan, kata Ahli Parlimen Subang Wong Chen. Beliau berkata, walaupun keputusan parti berkenaan kelihatan mengundang kontroversi, namun ia bukan dilakukan di luar konteks PH, termasuk penggunaan logo untuk bertanding. “Pada PRN Sabah, September 2020, DAP dan Amanah tidak mahu menggunakan logo PH dan ingin bertanding di bawah logo Warisan walaupun Warisan bukannya parti komponen PH. “Parti komponen PH boleh memilih sama ada menggunakan logo parti masing-masing atau logo PH,” katanya dalam kenyataan. Wong berkata, proses pembahagian kerusi bagi PRN Johor sudah diselesaikan secara baik sesama parti komponennya.

“PH turut mempertimbangkan perundingan bersama parti pembangkang lain, termasuk MUDA,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala Amanah dan DAP akan kekal dengan logo PH.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.


“Berhubung dengan logo, kita bersetuju PH atau logo yang dipilih oleh parti. Kita dah umum tadi kedua-dua (logo) PH untuk calon DAP dan Amanah dan PKR (guna) logo PKR,” katanya yang juga Presiden PKR.

Penggunaan logo berasingan antara parti komponen PH bukanlah sesuatu yang asing selepas perkara sama turut dilakukan pada PRN Sarawak, tahun lalu, dengan PKR, DAP dan Amanah, menggunakan logo parti masing-masing bertanding.