• Office of YB Wong Chen

Rafizi Ramli’s Resignation as Secretary General of PKR

Rafizi Ramli has just announced his resignation as Secretary General of PKR. He will be replaced by Dato Saifuddin Nasution with immediate effect.

I want to register my deep appreciation to Rafizi for his service to the party. He is the rock and standard bearer to us who still believe in the ideals of reformasi; to have a clean and accountable government that delivers socio economic justice for all. I understand and appreciate that he will want to spend more time with his wife and son, in particular after his sentencing 2 weeks ago.

I also want to welcome back Dato Saifuddin to the role of Secretary General. He was the leader that gave me my break to helm the Trade and Investment Bureau of PKR in 2010. Highly intelligent, hardworking, clean and honest, I wish him all the best in his endeavours. May he help PKR back to the path of Reformasi.

KENYATAAN MEDIA

25 November 2016

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Presiden Parti Keadilan Rakyat.

(disampaikan dengan tangan) PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG EKORAN KEPUTUSAN MAHKAMAH KES AKTA RAHSIA RASMI

Saya mendoakan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam memikul amanah kepimpinan yang digalas.

Pada 14 November 2016, saya telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ini bermakna saya hilang kelayakan di sisi undang-undang untuk bertanding di dalam sebarang pilihanraya dan memegang jawatan di dalam sebuah pertubuhan politik seperti KEADILAN sekiranya rayuan saya ditolak kelak.

Walaupun proses rayuan masih berjalan, saya memandang berat keperluan KEADILAN membina sebuah jentera pentadbiran dan organisasi parti yang kukuh sebagai persiapan menghadapi PRU14. Jika saya terus memegang jawatan Setiausaha Agung, ketidaktentuan kelayakan saya di sisi undang-undang boleh memberi ruang kepada musuh politik kita menggunakannya untuk membantutkan persediaan parti. Saya tidak mahu faktor saya dijatuhkan hukuman mendatangkan risiko tambahan yang perlu ditangani parti.

Oleh yang demikian, saya dengan penuh rasa syukur ingin memulangkan kembali amanah yang telah Dato’ Seri Presiden berikan kepada saya sejak Oktober 2014 kepada budi bicara Dato’ Seri Presiden. Saya bersyukur di atas kepercayaan yang telah diberikan dan berharap beberapa pembaharuan pentadbiran yang saya perkenalkan termasuk menaiktaraf sistem keanggotaan dan organisasi parti telah berjaya membantu parti.

Saya dengan ini memaklumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN berkuatkuasa hari ini Jumaat, 25 November 2016.

Oleh yang demikian, saya kini kekal sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih oleh anggota parti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Mandat sebagai Naib Presiden telah diberikan oleh anggota, maka saya akan terus menjawatnya sehinggalah proses undang-undang memuktamadkan kedudukan saya di sisi undang-undang kelak.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Dato’ Seri Presiden, Ketua Umum dan semua anggota parti yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Setiausaha Agung.

Saya akan memfokuskan kepada kerja-kerja merekrut dan melatih sukarelawan pilihanraya untuk memenangi kerusi-kerusi yang dimenangi tipis oleh Barisan Nasional; seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dengan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum.

Saya mendoakan Allah SWT sentiasa memberi petunjuk kepada kita agar tidak menyempang dari matlamat asal dan terus kekal membela rakyat dengan melawan mereka yang memangsakan rakyat.

Wassalam. DEMI RAKYAT

Saya yang menjalankan amanah,

Rafizi Ramli Setiausaha Agung/Naib Presiden

Kenyataan Media Presiden KEADILAN

PELANTIKAN DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG KEADILAN BERIKUTAN PERLETAKAN JAWATAN YB RAFIZI RAMLI

Saya menerima surat perletakan jawatan YB Rafizi Ramli sebagai Setiausaha Agung yang disampaikan dengan tangan kepada saya hari ini. Perkara ini telah dibincangkan terlebih dahulu mengambil kira kemungkinan beliau dijatuhkan hukuman atas pelbagai pertuduhan yang dibawa terhadap beliau.

Beliau telah memaklumkan kepada saya sejak setahun lalu hasrat beliau melepaskan jawatan Setiausaha Agung sekiranya beliau disabitkan dengan kesalahan yang melucutkan kelayakan beliau memegang jawatan di dalam organisasi politik.

Saya telah pun memaklumkan perkara ini kepada Biro Politik KEADILAN sebentar tadi.

Oleh kerana persediaan berhadapan dengan kesan perlucutan kelayakan YB Rafizi telah dibuat jauh lebih awal, saya telah berbincang dengan Ketua Umum terlebih dahulu sebelum ini. Dengan pandangan yang diberikan dan mengambil kira pengalaman beliau di dalam KEADILAN sejak penubuhan parti ini, saya memutuskan untuk melantik Yang Berbahagia Dato’ Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung KEADILAN yang baru berkuatkuasa 26 November 2016.

Dato’ Saifuddin Nasution Ismail adalah mantan Pengarah Strategi yang pertama sebelum menggalas amanah sebagai Setiausaha Agung di antara tahun 2010 hingga 2014. Beliau adalah seorang pemimpin kanan yang terbabit sejak penubuhan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan. Saya yakin beliau akan memainkan peranan utama mengukuhkan peranan KEADILAN di dalam Pakatan Harapan ke arah membentuk persefahaman pilihanraya dengan semua parti pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU14.

Saya ingin merakamkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada YB Rafizi atas khidmat beliau sebagai Setiausaha Agung sejak 2014. Beliau membantu saya mengemudi perjalanan parti melepasi cabaran getir selepas pemenjaraan Ketua Umum, Dato’ Seri Anwar Ibrahim termasuklah episod pembubaran Pakatan Rakyat dan penubuhan Pakatan Harapan.

Saya yakin YB Rafizi akan terus menjalankan tugas beliau sebagai Naib Presiden parti terutamanya memainkan peranan membongkarkan penyelewengan Barisan Nasional dan mengembleng tenaga rakyat biasa menyertai usaha menukar kerajaan dalam PRU14 nanti melalui pelbagai inisiatif yang beliau usahakan.

Saya berbesar hati dengan kematangan yang ditunjukkan kepimpinan KEADILAN keseluruhannya sehingga membolehkan asakan Barisan Nasional yang ingin mengkucar kacirkan keberkesanan kami sebagai suara rakyat tidak sedikit pun membawa kesan apabila peralihan tugas berlaku dalam suasana penuh tertib dan tersusun. Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail Presiden KEADILAN

25 November 2016

#DatoSeriWanAzizah #PKR #RafiziRamli #SaifuddinNasution