• Utusan Malaysia

Saham Azam Baki : Pertemuan PSC dan SC esok ditangguh

Oleh Juani Munir Abu Bakar, Utusan Malaysia (16 Februari 2022) PETALING JAYA: Pertemuan antara Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kewangan dan Ekonomi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang sepatutnya berlangsung esok ditangguhkan. Bercakap kepada Utusan Malaysia, Anggota PSC, Wong Chen berkata, beliau baharu sahaja dimaklumkan dengan keputusan penangguhan tersebut. Walau bagaimanapun beliau tidak dimaklumkan alasan penangguhan tersebut. Terdahulu, Chen memaklumkan satu pertemuan antara PSC dan SC sepatutnya berlangsung di Ibu Pejabat SC esok bagi mendapat penjelasan daripada suruhanjaya itu berhubung isu pemilikan saham Azam. Kata Ahli Parlimen Subang itu, kenyataan sebelum ini dikeluarkan oleh SC berhubung isu tersebut masih menimbulkan banyak persoalan dan memerlukan penjelasan lanjut daripada suruhanjaya berkenaan. “Usaha tersebut dilihat amat baik kerana bukan sahaja ahli Parlimen tetapi rakyat sendiri mahu mendapatkan maklumat terperinci berhubung soal pemilikan saham Azam. “Dalam pertemuan ini, wakil SC akan dipanggil. Namun saya tidak pasti siapa wakil SC yang akan hadir. Namun kita akan keluarkan kenyataan akhbar esok selepas pertemuan selesai,” katanya. Sebelum ini, SPRM dilanda kemelut isu pemilikan saham oleh Azam namun SC tidak dapat memastikan secara konklusif bahawa Azam telah melanggar undang-undang berhubung pemilikan sahamnya selepas mengumpul bukti dan menyelesaikan siasatannya. PSC mengenai Kewangan dan Ekonomi dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin dan dianggotai Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah), Datuk Robert Lawson Chuat (Betong), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Wong Chen (Subang), Dr Ong Kian Ming (Bangi), Teresa Kok (Seputeh) and Khalid Abd Samad (Shah Alam).- UTUSAN