top of page
  • Staff Member 01

Selamat Menyambut Hari Raya Haji


Selamat Menyambut Hari Raya Haji kepada penduduk Kelana Jaya. Pada musim cuti ini yang agak panjang, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat perjalanan sekiranya balik ke kampung dan selamat berehat dan gembira bersama keluarga.

Seberikut adalah coretan pandangan Aidil Adha oleh YB Rafizi Ramli.

CORETAN AIDIL ADHA


Saya doakan cuti yang panjang (bagi mereka yang bercuti) dimanfaatkan dengan keluarga dan ibadah yang mendekatkan kita dengan Allah SWT.

Banyak yang berlaku di celah-celah ribut masyarakat yang nampak belum ada tanda-tanda reda. Ramai yang bertanya dan mahu bacaan di sebalik sesuatu yang berlaku.

Contohnya yang terbaru Anwar Ibrahim berjabat salam apabila Tun Mahathir hadir ke mahkamah menyatakan sokongan kepada tindakan undang-undang menghalang Akta MKN.

Maka ramai yang bertanya apakah makna semua itu? Adakah baik untuk perjuangan rakyat? Adakah maknanya kepada reformasi? Apa yang akan berlaku.

Kepada wartawan yang bertanya minggu lepas: saya jawab saya tidak tahu dan kita perlu perhati kesannya dalam masa terdekat tetapi kita perlu terus bela rakyat biasa yang tertekan. Nasib rakyat itu perlu ditentukan oleh semua rakyat dan tidak lagi boleh ditentukan elit bangsawan. Juga rakyat perlu ubah pandangan dari mengharap diselamatkan kepada menyelamatkan keluarga dan masyarakat.

Di dalam hati saya jawapan saya agak lain.

Saya melihat berjabatnya tangan DS Anwar dan Tun Mahathir sebagai peringatan Allah SWT kepada kita tentang kuasaNya dan janjiNya, kepada mereka yang mahu melihat.

Kepada yang mahu mentafsir politik, maka mereka mentafsir politik mengikut kepentingan mereka.

Kepada mereka yang mahu dekatkan diri dengan Allah, saya melihatnya sebagai peringatan kepada diri sendiri bahawa yang benar akhirnya akan diperlihatkan juga kadang-kadang tanpa disedari.

Maka jika kita sempat melihat satu kitaran penuh dari 1998 hingga kini dan yang telah berlaku dibukakan satu persatu, tidakkah ia sepatutnya memperkuatkan keyakinan kita bahawa dalam keadaan mana pun akhirnya Allah SWT akan memperlihatkan yang benar?

Jika keyakinan itu makin diperkuatkan, jadi janganlah gundah gulana dengan pasang surut kehidupan apatah lagi yang bersabit politik. Berkata lah dan lakukanlah yang benar sekali pun pada ketika itu seluruh dunia mencemuh kita kerana suatu hari nanti Allah SWT akan memperlihatkan yang benar juga.

Sama ada kita sempat berada di situ ketika yang benar itu ditunjukkan itu bukanlah matlamat atau hak kita. Matlamat kita hanyalah mencari keredhaan Allah SWT maka yang lebih penting ialah berdoa supaya diberikan hidayah agar dapat membezakan yang benar dan diredhai Allah SWT dari yang tidak benar dan dimurkai Allah SWT.

Dengan keinsafan itu saya mengucapkan selamat beribadah dan menghayati ibadah haji dan qurban. Saya tujukan ingatan ini terutamanya kepada sahabat-sahabat yang telah pergi sebelum sempat melihat satu kitaran penuh.

Rafizi Ramli

bottom of page