top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Teks Ucapan Komoditi daripada YB Wong Chen

Terima kasih Tuan Pengerusi. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Maksud Bekalan 20 di peringkat Jawatankuasa. Saya ingin membahaskan dua butiran.


Butiran pertama ialah 010000 – Pentadbiran Am khasnya kod 10000 – Emolumen. Tuan Pengerusi, bagi tahun 2013, RM30 juta disediakan untuk emolumen tetapi untuk tahun depan iaitu tahun 2014, emolumen dipotong ke tahap RM18 juta sahaja. Ini maksudnya potongan sebanyak RM12 juta. Tuan Pengerusi, ini adalah satu potongan emolumen yang tersangat mendadak. Sebagai peratusan, potongannya ialah 40%. Jadi, saya minta Yang Berhormat Menteri menjawab macam mana operasi pentadbiran kementerian boleh berfungsi dengan baik sekiranya staf emolumen hanya pada tahap 60% sahaja? Oleh itu, saya minta butiran lanjut daripada Yang Berhormat Menteri. Berapakah kakitangan kementerian yang akan hilang pekerjaannya, kenapakah kementerian ini menjadi mangsa?


Ini kerana Tuan Pengerusi, kalau kita banding dengan potongan emolumen Jabatan Perdana Menteri, potongannya cuma sampai 0.7% sahaja. Tidak sampai 1% pun. Akan tetapi kakitangan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi kena potong 40%. Tuan Pengerusi, industri komoditi ladang khasnya kelapa sawit dan getah adalah industri yang sangat penting. Apabila kita kaji dari segi dengan izin, economic sectors, sawit dan getah adalah lebih penting daripada yang lain kerana jumlah dengan izin, combine export mencecah RM160 bilion. Ini bermakna ia lebih penting daripada Petronas kerana minyak Petronas akan kehabisan apabila reserved minyak sampai ke tahap kosong. Akan tetapi industri ladang adalah dengan izin, sustainable dan berkekalan.


Ia lebih penting daripada manufacturing kerana banyak syarikat manufacturing adalah kepunyaan syarikat luar negara. Ladang sawit dan getah kepunyaan 99% syarikatsyarikat Malaysia. Dari konteks itu, saya sangat hairan dan juga marah. Kenapa pada keseluruhannya, kementerian ini kena potongan bajet yang terbanyak sekali? Bandingkan bajet keseluruhan kementerian ini pada tahun 2013 adalah RM2.9 bilion. Untuk tahun 2014 turun kepada RM2 bilion sahaja. Potongan sebanyak RM900 juta. Sebagai peratusan untuk kita dapat konteks sebenarnya, potongan sebanyak 31%.


Tuan Pengerusi, butiran kedua yang saya ingin bahaskan ialah Butiran 070300 – Skim Penstabilan Harga Minyak Masak atau Cooking Oil Stabilization Sceme (COSS). Bagi tahun 2013, peruntukan COSS adalah RM1.5 bilion tetapi untuk tahun depan, untuk tahun 2014, COSS akan dipotong ke bajet RM1 bilion sahaja. Potongan sebanyak RM505 juta. Ini adalah potongan sebagai peratusan sebanyak 33%. Tuan Pengerusi, COSS ini adalah satu jenis subsidi. Tujuan subsidi ini ialah untuk memastikan harga minyak masak kepada pengguna domestik terkawal dan tidak naik mendadak sekiranya harga CPO iaitu harga minyak kelapa sawit mentah naik. COSS dibiayai oleh syarikat-syarikat sawit melalui satu cukai khas yang dikenali sebagai dengan izin, windfall tax. Mengenai Butiran 070300 ini, saya hendak timbulkan tiga soalan subsidiari.


Soalan subsidiari pertama saya ialah dengan potongan subsidi mendadak sebanyak 33% ini, apakah kenaikan harga minyak masak yang bakal berlaku pada tahun depan? Kalau subsidi kena potong RM505 juta, adakah beban sebanyak RM505 juta ini ditanggung oleh rakyat melalui minyak masak? Saya minta Yang Berhormat Menteri jawab, bagi tahun 2014, berapakah anggaran kenaikan harga bagi setiap satu liter minyak masak untuk pengguna?


Tuan Pengerusi, izinkan saya tanya soalan subsidiari kedua saya. Saya ingin tahu dari Yang Berhormat Menteri, apakah sebenarnya jumlah volume metrik tan minyak masak yang diguna pakai oleh consumer domestik sebab COSS ini ialah untuk consumer domestik sahaja. Bukan untuk industri dan bukan untuk pengeluar benda-benda yang berkaitan dengan sawit. Saya hendak tanya apakah jumlah metrik tan untuk consumer dan sama ada jumlah ini sama dengan jumlah metrik tan yang syarikat-syarikat yang telah menerima subsidi? Saya minta Yang Berhormat Menteri menjawab secara terperinci kerana perbezaan di antara domestik consumer dan juga subsidi yang diterima itu, apa-apa perbezaan jumlah itu adalah hasil ketirisan dan penyeludupan dengan izin Tuan Pengerusi, the difference between the consumer domestic consumption of cooking oil and the subsidy received by companies, that difference is smuggling.


Soalan subsidiari ketiga saya ialah di bawah Butiran 070300 adalah tentang potongan subsidi sebanyak RM505 juta itu. Kalau terdapat potongan subsidi itu, adakah windfall tax terhadap syarikat-syarikat sawit akan juga dikurangkan sebanyak RM505 juta? Kalau tidak dikurangkan, kalau windfall tax tidak dikurangkan, sama ada RM505 juta itu akan diguna pakai oleh kementerian sendiri ataupun disalurkan ke kementerian lain? Ini sangat penting sebab isu COSS ini, terdapat satu court case di mana bayaran windfall tax ini bukanlah sah. It is subject to appeal.


Jadi Tuan Pengerusi, saya hendak gulung ini. Isu minyak masak adalah tersangat penting...


(sambung)


Tuan Pengerusi, izinkan saya menggulung sekarang. Dalam Bajet 2014, kita sudah lihat seperti apa Yang Berhormat Sungai Petani kata tadi, potongan subsidi kepada beras dan gula telah dilakukan. Potongan ini memang akan membebankan rakyat. Akan tetapi, mengenai hal minyak masak, kita tidak pernah dengar penjelasan yang terperinci lagi. Oleh demikian, saya minta dan harap Yang Berhormat Menteri akan memberi penjelasan penuh dengan izin, full disclosure kepada rakyat. Sekian terima kasih.

Comentarios


bottom of page