• Free Malaysia Today

Wong Chen bidas ahli Parlimen PH tak hargai Rafizi

Oleh Mohamad Fadli, Free Malaysia Today (10 Disember 2019) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang, Wong Chen membidas tindakan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. Setidak-tidaknya, kata beliau, mereka sepatutnya mengucapkan tahniah atas pembebasan bekas ahli Parlimen Pandan itu daripada daripada hukuman penjara 30 bulan baru-baru ini. “Saya mengira kurang daripada 10 orang anggota ahli Parlimen mengucapkan tahniah kepadanya dalam kumpulan WhatsApp PH.

“Tidak hadir perbicaraan untuk menyokongnya boleh dimaafkan tetapi tidak mahu menaip mesej ringkas untuk mengucapkan tahniah kepada Rafizi kerana takut menyinggung pimpinan atasan, adalah mengecewakan,” katanya dalam kenyataan.


Pada 15 Nov lalu, Mahkamah Tinggi membebaskan Rafizi daripada hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Keputusan itu dibuat selepas Rafizi membuat rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen pada 7 Februari lalu selepas didapati bersalah mendedahkan 4 akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail.

Menurut Wong, antara sebab paling munasabah Rafizi mengambil keputusan meninggalkan arena politik untuk menghilangkan diri daripada “mereka yang tidak menghargainya”.

“Sejak PRU14, beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai kes di mahkamah sivil.


“Beliau berjuang untuk terus hidup dengan dana sendiri yang terhad selama setahun.

“Katakan apa sahaja yang anda mahu, pada saya, beliau salah seorang daripada segelintir reformis tulen yang diperlukan Malaysia,” katanya.

Wong tidak merasakan yang Rafizi mahukan ganjaran, cuma mahukan sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan dihargai.

Beliau juga berkata, walaupun Rafizi tidak bertanding dalam PRU14 sebagai ahli Parlimen kerana kekangan daripada kes Bafia, beliau sepatutnya dilantik menjadi senator.

“Ramai yang sumbangan mereka tidak seberapa berbanding Rafizi tetapi telah menerima jawatan selesa di kementerian.

“Saya tidak dapat menahan kesedihan melihat ahli politik paling bekerja keras dan terbaik di generasi ini meninggalkan pentas politik. ‘Bravo’ sahabatku, semoga takdir membawa kita pada jalan yang sama suatu hari nanti,” katanya.

Rafizi hari ini mengumumkan keluar daripada dunia politik untuk menumpukan pada kehidupan baru, mengatakan beliau berada pada peringkat kehidupan di mana beliau “perlu belajar”.

“Ia jelas saya diciap kerana saya menjelaskan bahawa saya tidak akan kembali kepada politik.

“Ini adalah tahap kehidupan saya apabila saya perlu belajar. Hanya melalui pembelajaran kita boleh menjadi lebih baik & menyumbang yang lebih baik,” katanya di Twitter.