• Sinar Harian

Wong Chen isytihar harta, aset bersih RM5.06 juta

Oleh Mohamad Khairil Ashraf Mohd Khalid (5 November 2022) SHAH ALAM: Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Wong Chen mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM5.06 juta. Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimaklumkan menerusi Twitternya pada Sabtu. Menerusi SD tersebut, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Subang bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu menyatakan jumlah keseluruhan tunai dan simpanannya berjumlah RM916,000.


Beliau memaklumkan, jumlah keseluruhan pelaburan dibuatnya sehingga 30 September 2022 pula adalah RM3.79 juta di dua tempat iaitu Sem Wah Development dan Invoke Solutions. Selain itu, Wong Chen turut memaklumkan beliau menggunakan dua buah kereta jenis Volvo XC40 yang bernilai RM200,000 dan VW Beetle (RM100,000). Dalam SD tersebut, turut dipaparkan barang kemas dan karya seni dimilikinya berjumlah RM155,000 di samping hutang pinjaman kereta sebanyak RM100,000. “Saya adalah calon Ahli Parlimen Subang, PRU15. Saya sudah berumah tangga, mempunyai seorang isteri dan dua anak berumur sembilan dan 11 tahun. “Sepanjang masa berkhidmat sebagai ahli Parlimen, saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri saya, isteri saya dan anak-anak saya,” katanya yang juga penyandang Ahli Parlimen Subang menerusi SD tersebut. Sementara itu Wong Chen berkata, pengisytiharan harta itu dibuat bagi mengesahkan komitmen penuhnya terhadap ketelusan dan akauntabiliti kewangan. "Kita tidak boleh hanya bercakap tentang memerangi rasuah, kita perlu bergerak seiringan dengan tindakan," ujarnya. Beliau turut menggesa agar semua calon untuk mengikuti apa yang telah dimulakan oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli iaitu mengisytiharkan harta. “Saya juga menggesa semua pengundi untuk bersikap kritis dan menolak mereka yang gagal mengisytiharkan harta,” tegasnya. Rafizi sebelum ini dilaporkan mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta. Menurut beliau, pengisytiharan itu sejajar dengan sebahagian daripada syarat-syarat yang ditetapkan oleh PKR sebagai calon bertanding di bawah tiket parti itu pada PRU15.