Oleh Ainin Wan Salleh, Free Malaysia Today (1 Julai 2022) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Subang Wong Chen mengkritik keputusan kerajaan memilih menteri untuk mempengerusikan pasukan khas yang ditubuhkan untuk memerangi inflasi. Beliau berkata, menteri atau ahli politik biasa tidak sesuai untuk jawatan itu kerana isu inflasi memerlukan minda yang sangat teknikal untuk mengendalikannya.
“Pakar ekonomi dan teknokrat daripada Bank Negara Malaysia yang sepatutnya menerajui perjuangan negara memerangi inflasi,” katanya kepada FMT. Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa. Wong Chen berkata, pasukan khas itu akan menjadi pengganti “tidak bergigi” Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, melainkan ia diberikan “beberapa kuasa luar biasa dan belanjawan yang besar”. Katanya, penubuhan pasukan itu mesti masuk akal dan logik dari segi ekonomi supaya ia berguna. “Setakat ini, saya tak rasa ia berguna. Jika benar, maka ia adalah sekadar ‘hiasan’ politik,” katanya.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, keputusan untuk menubuhkan pasukan tersebut tiada kena mengena dengan usaha memerangi inflasi.
Beliau percaya ia berkait konflik yang sedang dihadapi Umno.
“Pelantikan Annuar mengetuai pasukan ini adalah lebih kepada perdana menteri mencari seseorang untuk berbahas dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, rakyat tidak akan mempunyai keyakinan terhadap pasukan tersebut kerana ia dianggotai menteri dan ketua setiausaha negara.
Menteri lain yang menjadi anggota ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi.
“Kerajaan keliru tentang langkah ke hadapan (yang ingin diambil) dan (penubuhan pasukan) ini menunjukkan Putrajaya tiada sebarang hala tuju,” kata Santiago.
“Ia adalah langkah mengambil keputusan yang buruk.”
Comments