Oleh Nicolas Chung, Free Malaysia Today (16 Jun 2022) PETALING JAYA: Masih belum terlambat untuk Kementerian Kewangan campur tangan dalam kontroversi mengenai usaha CTOS Digital Bhd meningkatkan pegangan sahamnya dalam RAM Holdings Bhd, kata ahli Parlimen PKR Wong Chen. Ini susulan langkah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan permohonan CTOS Digital untuk memperoleh lebih 51% pegangan dalam RAM Holdings, iaitu salah satu daripada dua agensi penarafan kredit di Malaysia yang berdaftar dengan SC.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, kredibiliti RAM Holdings akan menjadi pertaruhan jika pengambilalihan pegangan majoriti oleh CTOS Digital dibenarkan diteruskan.
“Perjanjian itu akan membolehkan CTOS Digital dan pemegang sahamnya secara tidak wajar mempengaruhi sebarang penarafan yang diberikan. Ini seterusnya akan menjejaskan kredibiliti SC, yang baru-baru ini menerima tamparan berhubung kes saham Azam Baki dan syarikat Serba Dinamik.
“Masih belum terlambat untuk Kementerian Kewangan bertindak kerana ia boleh memanggil SC bagi menjelaskan kelulusan tersebut.
“(Kementerian Kewangan) harus segera menahan persetujuan kepada perjanjian itu sehingga justifikasi yang memuaskan diberikan,” katanya kepada FMT.
Wong Chen berkata, SC gagal memberi penjelasan yang memuaskan berhubung keputusan meluluskan perjanjian itu setakat ini. Jika tiada penjelasan memuaskan katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dilibatkan untuk menyiasat kemungkinan penyalahgunaan kuasa.
Beliau juga memberi amaran bahawa keyakinan pelabur terhadap Malaysia akan lebih terjejas jika SC kehilangan kredibiliti, manakala pelabur asing yang menjauhkan diri akan menyebabkan nilai ringgit merosot.
“Jadi isu pengambilalihan RAM Holdings oleh CTOS Digital ini bukanlah begitu mudah, malah ia membawa kesan negatif yang lebih luas,” katanya.
Pada 10 Jun, SC berkata, ia telah beberapa kali meluluskan permohonan pelbagai pihak untuk memperoleh pegangan melebihi 20% dalam agensi penarafan. Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan asas kelulusan permohonan CTOS Digital.
Sementara itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa SC bersikap lebih terbuka mengenai sebab ia meluluskan permohonan CTOS Digital dengan mengakui wujud kemungkinan terdapatnya “justifikasi yang baik”.
Presiden TI-M Muhammad Mohan juga menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan untuk menangani isu itu, terutamanya memandangkan bank pusat itu bertanggungjawab menubuhkan RAM Holdings pada 1990-an.
“SC sepatutnya memberi penjelasan dan bersikap telus. Dengan pemegang saham tunggal mendominasi RAM Holdings, komuniti perniagaan akan mula meragui kebebasannya sebagai agensi penarafan.
“RAM Holdings dikenali dan dihormati kerana bersifat bebas serta mampu memberikan pandangan dan penarafan kredit dalam pasaran domestik dan serantau. Jadi ada sebab mengapa (pegangan saham) dihadkan pada 20%,” katanya kepada FMT.
Mohan berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada pengambilalihan pegangan majoriti oleh CTOS Digital dalam RAM Holdings itu baik atau buruk untuk Malaysia.
Semuanya berpokok pada isu berkaitan tadbir urus, kebebasan, ketelusan dan kecekapan lembaga pengarah, katanya.
“Hanya masa yang akan menentukan sama ada pemegang saham majoriti baharu boleh membawa RAM Holdings ke tahap yang lebih tinggi dan memberi lebih keyakinan kepada pelabur,” katanya.
Comments