top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Perbahasan Rang Undang-undang Kewangan 2020


  1. Terima kasih Datuk/Dato’YangDi-Pertua, atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Rang Undang-Undang Kewangan 2020.

  2. Merujuk kepada Rang Undang-Undang Kewangan 2020, saya perhatikan bahawa Akta Cukai Pendapatan 1967 (Income Tax), Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 (Real Property Gains Tax, RPGT), Akta Setem 1949 (Stamp Act), Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967 (Petroleum Income Tax), Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (Labuan Business Activity Tax), Akta Kewangan 2012 (Finance Act 2012) dan Akta Kewangan 2018 (Finance Act 2018) adalah terlibat dalam rang undan-undang ini.

  3. Padadasarnya, saya akan membahas serba sedikit tentang Cukai Pendapatan, Cukai Keuntungan Harta Tanah, dan Cukai Pendapatan Petroleum.

  4. Pertama, perkara-perkara dasar yang saya ingin mengetengahkan daripada segi Cukai Pendapatan adalah, memandangkan unjuran Menteri Kewangan dalam Belanjawan 2021 yang telah diluluskan semalam bagi Cukai Pendapatan Individu dan Cukai Pendapatan Korporat adalah terlalu tinggi dan optimistik, malah kebanyakan pakar ekonomi juga telah memberikan pandangan yang sama, adakah Menteri Kewangan bersetuju untuk membuat suatu penyemakan semula terhadap unjuran hasil daripada Cukai Pendapatan Individu dan Cukai Pendapatan Korporat?

  5. Walaupun beberapa vaksin telah diluluskan baru-baru ini, Malaysia masih belum lagi mendapat satu kepastian untuk memperoleh vaksin yang secukupnya pada suku pertama tahun depan.

  6. Oleh demikian, saya berasa risau dan bimbang, memandangkan kebanyakan negara di dunia sedang menghadapi gelombang COVID-19 yang ketiga dan kadar jangkitan COVID-19 harian di Malaysia sering mencecah seribu kes sehari.

  7. Ini menunjukkan corak bahawa kita sedang mengalami satu third wave.Jika ini berterusan, saya bimbang pada suku pertama 2021, kita mungkin perlu menguatkuasakan MCO ataupun CMCO semula, dan ini akan menjejaskan ekonomi secara langsung dan secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan syarikat dan juga pendapatan individu.

  8. Oleh itu, saya memohon kepada Menteri Kewangan sekali lagi. Belanjawan 2021 telah pun diluluskan, tak perlulah nak memberikan gambaran yang tidak logik dan masuk akal kepada rakyat. Buatlah penyemakan semula yang betul bagi Cukai Pendapatan Individu dan Cukai Pendapatan Korporat. Adakah Menteri Kewangan bersetuju untuk buat demikian?

  9. Sekurang-kurangnya, janganlah jadi bahan ketawa oleh para-para ekonomi, pihak bank-bank dan penganalisis antarabangsa seperti Fitch Ratings. Eat some humble pie. You already have your bugdet passed. Do the right thing.

  10. Kedua tentang isu Cukai Keuntungan Harta Tanah.

  11. Bolehkah Menteri Kewangan memberikan pandangan beliau tentang kesan dan impak penurunan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi tahun 2021?

  12. Saya mempunyai kawan-kawan yang terlibat secara tidak langsung dalam sektor perumahan, sama ada mereka adalah peguam yang membuat perjanjian jual beli (sales and purchase agreement), ataupun sebagai pemaju perumahan, mereka semua risau tentang keadaan pasaran harta tanah.

  13. Jadi, kalau Menteri Kewnagan boleh berkongsi data dan juga pandangan dan tinjauan untuk sektor harta tanah, vis-à-vis Real Property Gains Tax rates, ini boleh sedikit banyak memberi satu panduan kepada pihak yang terlibat dalam sektor ini.

  14. Ketiga dan akhir sekali, saya ingin membangkitkan isu tentang Cukai Pendapatan Petroleum.

  15. Unjuran Menteri Kewangan bahawa harga minyak adalah lebih kurang USD40 untuk tahun depan adalah tepat. Saya setuju. Akan tetapi tentang isu Cukai Pendapatan Individu dan Cukai Pendapatan Korporat, itu memang saya tak bersetujulah. Akan tetapi untuk harga petroleum, saya setuju.

  16. Saya cuma ingin tahu sama ada kerajaan pintu belakang ini akan mereformasikan Petronas atau tidak?

  17. Isu yang saya membangkitkan ini, sudah hampir lapan tahun. Berapa kali sudah saya tanya soalan yang sama? Sama ada kerajaan Barisan Nasional, kerajaan Pakatan Harapan, dan sekarang kerajaan Perikatan Nasional.

  18. Setuju atau tidak untuk melalukan reformasi di mana Petronas adalah bertanggungjawab (accountable) kepada Parlimen Malaysia, dan bukannya kepada Perdana Menteri seorang sahaja.

  19. Saya tahu ini soalan dasar dan bukannya dalam bidang kuasa Menteri Kewangan. Akan tetapi, setuju atau tidak, Menteri sebagai seorang bekas pegawai bank yang di CIMB dulu, selalu bercakap tentang transparency, accountability, dan corporate social responsibility.

  20. Sekarang apabila sudah menjadi menteri, adakah Menteri akan teruskan nilai dan misinya, dan seterusnya menyampaikan kepada Perdana Menteri dan juga Kabinet Perikatan Nasional untuk melalukan reformasi yang betul. Hasil Petronas ini, bukannya milik kepunyaan Perdana Menteri seorang sahaja.

  21. Bolehkah Yang Berhormat Menteri Kewangan memberitahu Dewan yang mulia ini, pendirian beliau sebagai seorang teknokrat, dan bukannya seorang ahli politik? Dan sememangnya dia bukannya ahli politik pun.

  22. Datuk Yang Di-Pertua, itu sahaja, ucapan pendek saya dalam perkara ini. Saya berharap Menteri dapat memberikan penjelasan beliau dan cuba dengan sedaya upaya untuk mereformasikan isu-isu hasil dan kewangan negara ini.

  23. Sekian, terima kasih.

bottom of page