Terima kasih Datuk Speaker, kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Belanjawan 2021. Sebelum saya bermula, saya menerima baik nasihat dan pesanan Yang di-Pertuan Agong dalam perkara belanjawan, untuk memberi kepentingan kepada rakyat dan negara demi mengatasi pandemik Covid-19.
Dengan pesanan tersebut di hati, saya telah bersetuju bersama wakil-wakil lain daripada Pakatan Harapan untuk bertemu dengan Menteri Kewangan pada 1hb November 2020.
Dalam perjumpaan tersebut, Menteri telah mengambil satu pendekatan yang baik, memberi maklum balas point demi point kepada PowerPoint yang saya bentangkan. Sikap yang cukup professional. Perjumpaan tersebut boleh dianggap sebagai satu sesi konsultasi yang berjaya.
Namun demikian, selepas itu Pakatan Harapan tidak menerima apa-apa feedback lanjutan dari menteri, tak ada follow up meeting, dan yang mengecewakan adalah pada ucapan pembentangan belanjawan pada 6hb November, menteri tidak merujuk dan menjawab secara terus kepada enam cadangan-cadangan utama Pakatan Harapan.
Saya risau sejarah akan mencatatkan perjumpaan konsultasi tersebut, yang cukup luar biasa, sebagai satu, dengan izin, public relations exercise.
Saya tidak bercadang untuk berucap tentang enam (6) cadangan oleh Pakatan Harapan kerana perkara ini telah menerima banyak liputan media.
Dalam ucapan saya ini, saya akan memberi pandangan-pandangan yang lain, khususnya tentang: (1) politik belanjawan, (2) status pandemik Covid-19, dan (3) beberapa komen tentang tinjauan dan cadangan fiskal.
Belanjawan 2021 sepatutnya merupakan belanjawan yang luar biasa, iaitu belanjawan terbesar RM322.5 bilion, belanjawan mengembang khas untuk mengatasi pandemik Covid-19, dengan izin, the largest ever expansionary budget to fight Covid-19.
Belanjawan yang dibentangkan oleh menteri kewangan jelas terpesong dari matlamat utama ini, ia lebih merupakan satu belanjawan mengembang biasa yang ada agenda politik, seperti peruntukan besar untuk JASA.
Belanjawan ini sepatutnya inklusif untuk menyatukan semua parti-parti politik, supaya kami berganding bahu menentang pandemik Covid-19. Tetapi malangnya, ini tidak bentangkan.
Saya risau, keadaan politik yang rumit kini akan berterusan sekiranya belanjawan ini diluluskan tanpa pindaan-pindaan yang munasabah. Bermula dengan Langkah Sheraton, negara kita sekarang menyaksikan arena politik yang kucar kacir, dimana ada pembangkang yang sebenarnya menyokong kerajaan dan ada pula Ahli Parlimen kerajaan yang menyokong pembangkang.
Di dalam dewan yang mulia ini, kita telah mengambil langkah-langkah pencegahan tambahan di kompleks Parlimen, ada yang logik ada yang tak masuk akal: pelaksanaan ujian RT-PCR kepada Ahli Parlimen setiap 2 minggu, kegunaan plexiglass, dan langkah menghadkan kehadiran ahli di dewan hingga 80 orang sahaja. Kerja separuh hari, tapi mujurlah gaji penuh di teruskan.
Persidangan Parlimen nampaknya sedia terlindung daripada wabak Covid-19, tetapi ahli parlimen tidak terlindung daripada wabak-wabak lain. Wabak politik tanpa prinsip, wabak rasuah, wabak penyalahgunaan kuasa, wabak pelantikan GLC, masih terus merebak di dalam dewan yang mulia ini.
Dah akhir sekali, wabak yang paling bahaya, wabak gila kuasa sampai ada beberapa dalang dalam dewan ini yang begitu berani membuat percubaan darurat di Malaysia. Mujurlah, Raja-Raja kita bijaksana dan prihatin kepada perlembagaan dan rakyat.
Dalam konteks inilah, perbahasan Belanjawan 2021 telah menjadi satu medan perang politik. Datuk Speaker sendiri telah memberikan tafsiran yang tak betul, dengan mengatakan bahawa pihak pembangkang tidak boleh mengusulkan undi tidak percaya tanpa kebenaran daripada Menteri Undang-undang dari pihak kerajaan.
Ramai di kalangan kami tidak bersetuju dengan pandangan itu, termasuk Ahli Parlimen senior yang disayangi Yang di-Pertuan Agong, Yang Berhormat Gua Musang. Majoriti besar pakar-pakar perlembagaan berpendapat bahawa undi tidak percaya merupakan satu hak asas tunggak demokrasi untuk menguji kesahihan kerajaan. Kerajaan yang terus berkuasa tanpa majoriti, bukanlah pemerintah yang demokratik. Apa lagi kerajaan yang mula berkuasa melalui pintu berlakang.
Jika Ahli Parlimen tiada jalan lain untuk mengusulkan undi tidak percaya, maka opsyen terakhir untuk menguji kesahihan kerajaan adalah melalui pengundian Rang Undang-Undang Belanjawan ini.
Jadi, apakah penyelesaian untuk kebuntuan isu politik dan belanjawan ini? Jika pihak Speaker dan kerajaan bersetuju untuk membenarkan masa separuh hari kepada pembangkang untuk usul private members setiap minggu Parlimen bersidang, seperti yang diamalkan di Parliament United Kingdom, di mana kita diberi jaminan peluang untuk membawa usul-usul, termasuk usul undi tidak percaya, maka perkara ini boleh selesai secara aman. Perbahasan belanjawan ini akan berhenti menjadi medan perang politik dan kembali kepada asasnya sebagai perkara mengenai kewangan tahunan negara.
Datuk Speaker, izinkan saya beralih fokus kepada konteks pandemik Covid-19 dalam belanjawan ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, belanjawan yang mengembang ini sepatutnya bertujuan utama untuk menyelamatkan rakyat dan ekonomi negara dari pandemik Covid-19.
Langkah yang pertama dalam penyediaan belanjawan ini, adalah untuk membuat unjuran tepat berkenaan situasi Covid-19 tahun depan. Adakah pandemik Covid-19 akan terus merebak atau ia akan mula menyurut pada tahun 2021? Dengan izin, I don’t have a crystal ball, tetapi kebanyakan pakar kesihatan awam, pakar ekonomi dan pakar dasar, lebih kurang meramalkan senario berikut bagi tahun 2021.
Dua hari yang lalu, kami telah menerima sebuah berita terbaik mengenai vaksin Pfizer dan BioNTech. Ianya didapati efektif pada tahap 90%. Tetapi vaksin ini masih belum diluluskan dengan sepenuhnya. Mengikut WHO, terdapat 170 pasukan diseluruh dunia yang cuba menghasilkan vaksin covid-19. Dari ini 11 pasukan, termasuk Pfizer BioNTech adalah berada pada tahap testing biru, iaitu fasa ketiga sebelum kelulusan penuh. Pasukan Oxford, Pasukan Moderna dan Pasukan Sinopharm adalah diantara pasukan yang paling terdepan.
Banyak pakar kesihatan membuat ramalan bahawa Vaksin Pfizer BioNTech ini akan diluluskan di pertengahan bulan depan, iaitu dengan izin, approved before Christmas.
Tetapi vaksin ini memerlukan storage minus 80 degree celsius, ini akan cukup merumitkan penyimpanan, pengedaran dan kerja inokulasi. Lagipun, syarikat Pfizer tidak ada kapasiti untuk mengilangkan berbilion vaksin yang diperlukan oleh sedunia.
Sebagai bandingan, kumpulan Sinopharm dari negara Cina, yang sedang membuat ujian di Brazil dan Indonesia, hanya mempunyai kapasiti mengeluarkan 1 billion vaksin tahun depan. Dunia ini ada 7.7 billion manusia, dan setiap satu memerlukan 2 suntikan vaksin.
Oleh demikian, walaupun beberapa vaksin diramal akan mendapat kelulusan tahun depan, isu berapa banyak vaksin yang boleh dikilangkan, isu supply and demand, isu negara mana yang akan dapat vaksin terdahulu, isu harga dan kewangan, isu pengedaran dan kerja inokulasi adalah cabaran-cabaran logistik yang sangat hebat dan perlu diatasi.
Senario yang paling berkemungkinan, dengan izin, the likeliest scenario adalah kelulusan empat ke enam vaksin pada suku pertama tahun 2021.
Proses penghasilan, perolehan, pengedaran dan kerja inokulasi vaksin pula akan megambil sekurang-kurangnya 6 bulan selepas itu, iaitu sampai ke hujung suku ketiga 2021. Jika kita bernasib baik, dan dapat membeli vaksin lebih awal dan secukupnya, kita akan dapat membendung pandemik in pada suku keempat tahun 2021. Dari situ, kita akan mula melihat aktiviti sosial dan ekonomi berpulih ke normal, ke tahap sebelum Covid-19 iaitu tahun 2019.
Justeru, belanjawan Covid-19 tahun 2021 mestilah dibuat khususnya untuk mengambil kira senario tersebut. Kita perlu terus berwaspada sekurang-kurangnya selama tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021, di mana pandemik Covid-19 masih merupakan ancaman besar.
Dalam mempertimbangkan senario diatas, kita tertanya berapa banyakkah dana wang yang perlu Parlimen luluskan untuk tahun 2021 di dalam Kumpulan Wang Covid-19?
Menurut dokumen belanjawan, kerajaan bercadang untuk membelanjakan RM28 bilion untuk kesuluruhan tahun ini, tahun 2020. Bagi tahun 2021 pula, kerajaan mencadang peruntukan dana sebanyak RM17 bilion. Adakah ini mencukupi?
Pada mulanya, kita harus menilai keberkesanan RM28 bilion yang dibelanjakan untuk tahun 2020. Adakah tahap subsidi upah dan pemberian Bantuan Prihatin Nasional pada tahun 2020 mencukupi?
Jawapannya adalah tidak, sebab pengangguran terus meningkat selepas adanya program subsidi upah, dan majoriti syarikat masih separuh hidup sampai meminta lanjutan moratorium bank dan kesengsaraan M40 dan B40 juga jelas, dimana ramai sekarang meminta kerajaan membenarkan mereka untuk mengeluarkan wang pencen KWSP.
Apa yang jelas adalah RM28 bilion memang tidak memadai bagi tahun 2020. Oleh demikian, kenapa pula kerajaan ini berhasrat untuk mengurangkan dana Kumpulan Wang Covid-19 bagi tahun 2021 hingga ke RM17 billion sahaja.
Jadi, berapa banyakkah yang harus kita membelanjakan untuk tahun 2021? Saya mencadangkan kerajaan meningkatkan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak 30 peratus, iaitu dana Kumpulan Wang Covid-19 bagi tahun 2021 perlu dinaikan dari RM17 billion sehingga ke RM36 bilion.
Dengan penambahan RM19 billion ini, kita boleh membeli vaksin secukupnya, subsidi upah dan bantuan prihatin boleh ditingkatkan sehingga syarikat tak perlu minta moratorium bank dan rakyat tak perlu terdesak sampai mengeluarkan wang pencen KWSP. Semua isu tentang moratorium dan KWSP boleh diselesaikan dengan penambahan RM19 billion ini.
Dengan penambahan RM19 billion ini, Malaysia boleh melakukan mass testing, seperti yang diamalkan oleh China, Hong Kong dan Slovakia. Kalau kita membuat tiga juta ujian sehari, kesemua penduduk Malaysia boleh diuji dalam sepuluh hari sahaja. Ini akan membenarkan Malaysia untuk menekan satu “re-set button” kepada ekonomi kita. Kalau kos mass testing adalah RM3 billion, ia adalah kos yang cukup berbaloi.
Dari manakah kita akan mendapat wang ini? Parlimen boleh dan patut mengurangkan perbelanjaan pembangunan (devex) di dalam belanjawan ini, iaitu dari RM71 bilion dikurangkan ke RM52 billion, dimana RM19 billion dipindahkan ke Kumpulan Wang Covid-19.
Tuan Speaker, pada kebiasaannya perbelanjaan pembangunan (devex) adalah pada tahap lebih kurang RM50 billion setahun, dan kita semua tahu bahawa devex spending adalah sesuatu yang bakal membawa manfaat economic multiplier kepada rakyat. Tetapi sekiranya devex ini dilakukan secara korup dan bukan open tender, maka manfaat ini akan lebih menguntungkan kroni-kroni politik.
Negara sedang menghadapi krisis luar biasa, rakyat biasa susah dan majoriti syarikat pun susah, kenapa pula kerajaan ini memberi kepentingan kepada perbelanjaan devex yang lebih memanfaat kroni, sampai naik ke RM71 billion? Oleh demikian, saya meminta semua Ahli Parlimen di dalam dewan ini untuk menyokong cadangkan saya untuk mengurangkan devex ke tahap normal untuk tahun 2021.
Di samping itu, Datuk Speaker saya juga ingin meluahkan kekecewaan saya dengan Menteri Kewangan kerana telah menggunakan, dengan izin, creative fiscal projection untuk mengelirukan dewan yang mulia ini, dalam membuat unjuran hasil kerajaan yang terlalu optimistik.
Unjuran cukai pendapatan korporat dan individu adalah terlalu tinggi. Pada perkiraan saya, unjuran lebihan adalah sebanyak RM25 bilion, iaitu RM15 bilion dari cukai korporat dan RM10 bilion dari cukai individu. Ini harus diperbetulkan. Saya tiada halangan sekiranya dana RM25 billion ini di perolehi melalui terbitan bon dan sukuk.
Saya tidak mempunyai masalah langsung dengan belanjawan yang mengembang (expansionary budget) yang dibiayai melalui sukuk dan bon untuk tahun 2021, tetapi janganlah, dengan izin, insult our intelligence dengan unjuran hasil yang tidak realistik.
Akhir sekali, saya nak tegur sedikit ucapan bajet menteri yang pada keseluruhannya tidak berbunyi inklusif. Saya tidak setuju apabila menteri kewangan, seorang professional teknokrat dan bukanya seorang politik, membentangkan belanjawan yang membahagikan rakyat berdasarkan kaum masing-masing.
Ucapan belanjawan menteri memang tidak sesuai bagi sebuah negara yang berbilang kaum yang sedang menghadapi cabaran luar biasa pandemik Covid-19. Virus Covid-19 tidak memilih mangsanya berdasarkan kaum. Oleh itu, belanjawan khas 2021 untuk mencegah Covid-19 ini tidak patut diucapkan dalam kerangka perkauman.
Sepatutnya ucapan belanjawan tertumpu kepada soalan bagaimanakah belanjawan ini akan membantu orang miskin yang hidupnya teramat susah sekarang, jauh lebih susah berbanding dengan orang kaya. Pendek kata, kita perlu beralih dari belanjawan yang berdasarkan kaum ke belanjawan yang menangani isu jurang miskin kaya, dan ketidaksamaan kelas.
Dengan itu, Datuk Speaker saya menerima nasihat baik Yang di Pertuan Agong, dan saya akan hanya menyokong belanjawan sekiranya kerajaan memenuhi tiga syarat, (1) masa private members bill dijaminkan supaya usul tidak percaya boleh dilakukan untuk mempertahankan perlembagaan demokrasi, (2) pembetulan dilakukan dengan segera terhadap unjuran hasil CITA dan Individu dan (3) pemindaan peruntukan RM19 bilion daripada perbelanjaan pembangunan kepada Kumpulan Wang Covid-19.
Sekian, terima kasih.
Comments