top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Parliamentary Debate: KWSP Bill 2015

Tuan Speaker, terima kasih memberi peluang kepada saya untuk membahas rang undang-undang KWSP.


Pertama, taniah kepada YB Titiwangsa, tokoh korporat menjadi Timbalan Menteri.


Pembahasan saya adalah padat tetapi dengan izin, will be straight to the point.


Saya akan membahaskan tiga perkara:

  1. Tentang perkara pelaburan syariah dan juga Jawatankuasa Penasihat Syariah.

  2. Isu pelaburan KWSP dalam syarikat FGV.

  3. Impak TPPA pada KWSP.

Isu pertama, iaitu isu utama rang undang–undang ini, adalah mengenai pelaburan syariah, ataupun dengan izin, syariah compliant investments.


Saya tertarik kepada isu in kerana ia seakan-akan dengan sistem pelaburan yang berdasarkan etika, “socially responsible investing” ataupun “ethical investing.”


Sejak tahun penghujung 1990-an, pasaran dunia telah melihat perkembangan beberapa dana pelaburan beretika, “ethical investing fund.” Semua ini bermula dengan konsep green investing, iaitu pelaburan yang khasnya membeli saham-saham syarikat yang mempunyai “green” credentials, iaitu syarikat-syarikat yang tidak merosakkan alam sekitar.


Dari perkembangan green investing sejak tahun 1990-an sehingga ke masa kini, di mana pada masa kini, terdapat beberapa sovereign wealth funds yang mula mengamalkan code of ethics dalam pelaburan mereka. Terutamanya, the Government Pension Fund of Norway mempunyai system etika yang tinggi sekali di mana perkara-perkara seperti alam sekitar, korupsi, dan penindasan pekerja diambil kira sebelum mereka membuat satu pelaburan.


Jadi taniah kepada KWSP kerana mula mengamalkan corak pelaburan baru yang mempunyai satu “code of ethics” yang berdasarkan syariah.


Tuan Speaker, saya bukanlah orang Islam, saya beragama Buddha. Tetapi saya memang biasa berkawan rapat dengan kaum Melayu Islam kerana saya membesar di Kelantan. Bagi saya semua agama, walaupun berlainan dengan cara dan adatnya, adalah mempunyai matlamat yang sama, iaitu mendekati Tuhan dan memastikan keadilan dan kebaikan kepada semua. Oleh itu, saya menyokong sistem pelaburan syariah ini kerana saya percaya ia sekurang-kurangnya akan membawa satu “code of ethics” dalam pelaburan KWSP.


Tuan Speaker, pada dasarnya saya menyokong rang undang-undang ini, saya mempunyai beberapa soalan kritikal kepada menteri mengenai isu pelaburan syariah ini.


Pertama, apakah guideline ataupun garis panduan untuk sesuatu pelaburan mematuhi rukun-rukun Syariah? Saya harap menteri akan memberi penjelasan garis panduan yang penuh. Saya tahu aktiviti haram di segi Islam seperti judi dan arak tidak akan dapat status pelaburan syariah. Tetapi apa pula dengan isu lain seperti gejala korupsi dan penindasan pekerja? Seperti apa yang YB Sepang timbul semalam, apakah “standard” yang kita akan pakai? Semalam, YB Sepang timbulkan isu 1MDB dan Cayman Island sebagai satu contoh. Niatnya baik.


Niat saya juga baik. Saya nak tanya menteri sekiranya PAC atau polis atau Attorney General ataupun Bank Negara mendapati 1MDB telah melakukan satu jenayah korupsi besar atau money laundering, adakah KWSP akan menarik balik semua pelaburannya dalam 1MDB supaya ianya mematuhi rukun-rukun syariah? Soalan contoh 1MDB saya penting kerana saya tak percaya asalkan syarikat tak jual daging babi, tak jual arak, tak mengamalkan pembankan faedah, dan tak ada casino, semuanya adalah halal dan boleh dilabur. Setahu saya gejala korupsi bukanlah satu perkara halal.


Oleh itu, saya meminta sekali lagi, menteri memberi penjelasan penuh garis panduan, apakah itu syariah compliant? Tuan Speaker, permintaan saya ini adalah penting kerana KWSP ini bukannya perkara kecil. Wang KWSP melebihi RM 600 bilion dan ianya kepunyaan rakyat, bukan kepunyaan kerajaan. Dengan izin, the people have a right to know where and how their money is invested.


Tuan Speaker, izinkan saya kemukakan soalan kedua saya. Adakah menteri setuju untuk memasukkan garis panduan ini sebagai satu jadual kepada Akta ini? Ini boleh dilakukan pada persidangan Dewan Mulia ini pada masa akan datang. Ianya penting kerana satu garis panduan yang begitu penting yang melibatkan pelaburan rakyat berbilion-bilion tidak boleh sahaja ditentukan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah sahaja. Dengan izin, there are just too much discretionary powers affecting billions of the people’s investments in the hands of the syariah advisory committee. How is this committee accountable to the rakyat? Therefore, there must be at least a written syariah compliance guideline attached as a schedule to this Act.


Soalan ketiga saya, adakah pelaburan syariah ini terbuka kepada semua orang Islam dan bukan Islam? Sekiranya duit KWSP saya tak masuk pelaburan ke syarikat kronik seperti 1MDB yang tak boleh bayar faedah hutang, apatah lagi hutang pokok, saya berminat tukar ke sistem pelaburan syariah.


Soalan keempat saya adalah apakah peratusan dana KWSP sekarang yang sudah memenuhi rukun-rukun syariah? Adakah ia cuma 10% atau 50% atau 80%? Soalan ini penting kerana untuk mengamalkan satu rombakan sistem kepada dua saluran pelaburan, dengan izin, two investment streams, (satu biasa, satu syariah) adalah tersangat rumit. Contoh: KWSP mempunyai pegangan 15% Bank CIMB, dengan nilai market value sebanyak RM 6 bilion. Oleh kerana Bank CIMB mengamalkan sistem bank berfaedah, ia tidak boleh dianggap sebagai satu pelaburan syariah compliant. Oleh demikian, adakah semua saham CIMB akan dipindah kepada pelabur biasa KWSP? Tuan Speaker, soalan kelima saya kepada menteri adalah mengenai pembayaran kadar dividen. Sekiranya kita mempunyai dua saluran, satu KWSP biasa, satu lagi KWSP syariah, bayaran dividen tentunya akan berlainan. Katakan, sebagai contoh, tahun depan, KWSP syariah dapat dividen 8% dan KWSP biasa dapatkan dividen 4%, bukankah ini akan menimbulkan satu konflik cemburu antara ahli-ahli KWSP yang berbilang kaum? Bagaimankah KWSP akan menjawab kepada ahlinya sekiranya dividen satu saluran lebih tinggi daripada saluran lain? Oleh itu, ianya tersangat penting demi mengelakkan perkara ini berlaku bahawa Dewan ini meminda fasal 5 rang undang-undang ini supaya perbezaan dividen antara dua saluran ini tidak melebihi 2%. Dengan izin, it is extremely important that we amend the proposed clause 5 to ensure that “the differential” in dividend pay outs between the normal EPF and Syariah Compliant EPF shall not be more than 2%. Tuan Speaker, saya ingin memberi penekanan bahawa ini adalah tersangat penting kerana sekiranya perbezaan dividen ini tidak dipantau dan dikawal selia oleh Parlimen, iainya boleh disalahgunakan sebagai satu perkara politik dan menimbulkan isu cemburu antara kaum. Saya berharap menteri memberi perhatian ketara kepada pandangan saya ini dan membuat pindaan yang sesuai.


Tuan Speaker, saya beralih fokus kepada perkara kedua saya iaitu tentang pelaburan KWSP dalam syarikat FGV. Soalannya pendek sahaja. Saya ingin tahu apakah status pelaburan KWSP dalam saham-saham FGV. Apakah, dengan izin, paper loss position KWSP dalam perkara ini? Kita semua telah melihat saham FGV telah hilang 70% nilai market cap, dari RM 20 bilion jatuh ke RM 6 bilion. Apakah kerugian paper loss KWSP sampai sekarang?


Dan adakah apa-apa tindakan disiplin terhadap investment panel KWSP, terutamanya terhadap mana-mana penganalisa-penganalisa yang terlalu bersemangat cadang pelaburan dalam FGV? Harap menteri boleh membuat investigation dan memastikan sesiapa yang bertanggungjawab terhadap fiasco beli saham FGV ini dipecat serta merta.


Saya prihatin bahawa KWSP telah mula memperbaiki kedudukan tahap pelaburan dalam FGV dan juga memperbaiki imejnya. Saya mengalu-galukan apa yang pegawai-pegawai KWSP buat pada masa skandal PT Eagle High Plantation, tetapi menteri sebagai seorang businessman yang berkaliber, tentunya setuju dengan saya bahawa sesiapa yang mengakibatkan kehilangan berjuta-juta wang rakyat mesti dipecat. Dengan izin, the culture of corporate impunity must stop. Someone in EPF must be accountable for this investment fiasco.


Tuan Speaker, perkara akhir yang saya akan timbulkan secara ringkas sekali adalah mengenai TPPA, the Trans Pacific Partnership Agreement. Saya ingin tanya menteri sama ada beliau telah menerima briefing dari menteri MITI mengenai impak TPPA ke atas pelaburan-pelaburan KWSP. Sekiranya ya, saya meminta menteri memberi penjelasan impak tersebut. Sekiranya belum terima briefing dari MITI, saya meminta menteri memberi jawapan bertulis seminggu dua ini.


Itulah sahaja pembahasan saya. Saya berharap ahli-ahli Dewan yang mulia ini menerima komen-komen dan soalan-soalan saya dengan baik. Sekiranya ada apa-apa yang saya telah salah cakap, saya meminta maaf. Terima kasih Tuan Speaker dan terima kasih kepada kawan baik saya YB Titiwangsa. Taniah sekali lagi kepada YB Titiwangsa.



bottom of page