top of page
  • Writer's pictureYB Wong Chen

Rang Undang-Undang Perbekalan (Pindaan) 2018 dan Usul Anggaran Pembangunan 2018

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Nampaknya ini akan merupakan ucapan belanjawan kita semua yang terakhir bagi Parlimen Ke-14. Dalam ucapan ini, saya akan memberi fokus kepada data-data dan juga isu-isu dasar serta sedikit falsafah saya sendiri dan juga budaya baru yang kita perlu lakukan untuk kebaikan ekonomi negara.


Saya bermula dengan isu data-data yang tertera di dalam buku Belanjawan Persekutuan 2018. Di bawah segmen ini, terdapat dua isu yang ingin saya kemukakan iaitu satu, tentang hasil; dan kedua, tentang perbelanjaan khasnya perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri.


Pertama, saya perhatikan bahawa hasil Kerajaan Persekutuan telah bertambah dari tahun 2017 ke tahun 2018 sebanyak RM14.5 bilion. Komponen hasil yang amat merunsingkan saya adalah pengumuman Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa tujuh item cukai barangan dan perkhidmatan ataupun GST akan dilupuskan manakala cukai pendapatan individu bagi tiga kategori juga telah dikurangkan sebanyak dua peratus.


Bagi setiap kategori khasnya golongan berpendapatan antara RM20,000 ke RM35,000 dari lima peratus ke tiga peratus. Group RM35,000 ke RM50,000 dari 10 peratus ke lapan peratus dan RM50,000 ke RM70,000 dari 16 peratus ke 14 peratus. Kedua-dua pengumuman ini oleh Yang Amat Berhormat Pekan tidak sepadan dengan apa yang tertera di dalam Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2018. Buku ini ya, tidak tertera... [Menunjukkan buku berkaitan] Saya minta Yang Berhormat Menteri Kewangan memberi penjelasan terperinci, kenapa dengan pelepasan-pelepasan cukai GST bagi barang-barang termasuk kapal terbang dan kapal laut mewah, kutipan GST keseluruhannya masih bertambah sebanyak RM2.3 bilion pada tahun 2018.


Tuan Yang di-Pertua, bagi tahun 2017, anggaran kutipan GST adalah sebanyak RM41.5 bilion, dan untuk tahun 2018, anggaran kutipan GST adalah sebanyak RM43.8 bilion- peningkatan sebanyak 5.5 peratus. Mengikut perkiraan saya, untuk menampung tambahan kutipan cukai GST sebanyak RM2.3 bilion ini, setiap keluarga rakyat Malaysia perlu membayar tambahan GST sebanyak RM200. Setiap syarikat pula, tambahan sebanyak RM110. Kemungkinan tambahan ini berasaskan perbelanjaan pengguna yang lebih besar atau greater consumer spending tetapi jika ini alasan Kerajaan Persekutuan, kerajaan jelas telah gagal meramal sentimen pengguna terkini, dengan izin, the government has failed to properly estimate current consumer sentiment. Oleh yang demikian, saya meragui data dan anggaran yang dikemukakan.


Bagi cukai pendapatan individu pula, saya memerhati bahawa kutipan cukai pendapatan individu untuk tahun 2017 mencapai sebanyak RM30 bilion dan untuk tahun 2018 anggaran mencapai paras RM32.2 bilion. Ini bermakna walaupun Kerajaan Persekutuan melupuskan dua peratus cukai pendapatan individu bagi golongan sederhana ataupun golongan M40, pada keseluruhannya kutipan cukai pendapatan individu akan tetap meningkat sebanyak 7.1 peratus. Ini adalah peningkatan yang amat tinggi sekali. Seperti yang telah saya bentang mengenai GST tadi, apa yang dibawa oleh Perdana Menteri tidak sepadan dengan apa yang tertera dalam Buku Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan.


Oleh yang demikian, saya betul-betul meragui dan data hasil makro ekonomi kerajaan di mana anggaran nisbah defisit kepada KDNK hanya mencapai paras 2.8 peratus adalah satu anggaran yang tidak munasabah dan adalah satu rekaan semata-mata. Apa yang penting juga, ialah pengumuman yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Pekan tentang bayaran bonus one-off kepada penjawat-penjawat awam, imam, ketua kampung, bilal dan lain-lain juga tidak terdapat di dalam Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2018.


Bayaran ini berjumlah RM3 bilion. Tidak ada satu ayat pun tertulis di dalam buku yang tebal 530 muka surat ini. Dalam empat tahun saya menjadi seorang Ahli Parlimen saya sudah banyak melihat creative accounting dan accounting magic. Akan tetapi tahun ini adalah yang paling teruk sekali. Ini adalah belanjawan di mana Yang Amat Berhormat Pekan cuba memancing undi menggunakan perkara-perkara yang tidak wujud dalam anggaran perbelanjaan sendiri. Ini umpama memancing tanpa umpan.


Tuan Yang di-Pertua, saya sekarang beralih kepada segmen perbelanjaan.


Saya teruskan ucapan saya mengenai Jabatan Perdana Menteri. Saya perhatikan bahawa Malaysia adalah satu-satunya demokrasi di mana Perdana Menteri juga memegang portfolio Menteri Kewangan. Ini tidak masuk logik langsung. Peruntukan Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2018 mencecah RM17.4 bilion. Sementara Kementerian Kewangan diperuntukkan RM34.3 bilion.


Keseluruhannya ini bermaksud peruntukan di bawah Yang Amat Berhormat Pekan RM52 bilion. Ini bermakna 18.4 peratus peruntukan satu negara kita di bawah seorang. One person the Honorable Yang Amat Berhormat Pekan controls 18.4 percent of the entire budget. Ini tidak masuk akal, ini bukan sistem demokrasi tetapi satu sistem yang membolehkan kleptokrasi.


Dari segi perbelanjaan pembangunan pula, saya memerhati bahawa Jabatan Perdana Menteri mempunyai peruntukan sebanyak RM12.2 bilion manakala Perbendaharaan diberi peruntukan pembangunan- development, sebanyak RM1.3 bilion.


Ini bermakna jumlah besar RM13.5 bilion iaitu 28 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan tahun 2018. Dengan izin, not only the Prime Minister the Yang Amat Berhormat Pekan controls 18.4 percent the entire budget, he controls 28 percent of the development budget. Kita semua faham bahawa walaupun penting perbelanjaan pembangunan, ia adalah perbelanjaan budi bicara ataupun discretionary, yang ramai orang tidak faham ialah, kenapa seorang Perdana Menteri yang tidak ada kakitangan seperti polis, doktor, jururawat, tidak ada ya- tidak ada guru, tidak ada askar, tidak mempunyai tanggungjawab untuk membina sekolah, tidak ada tanggungjawab membina jalan raya, hospital, kem tentera, tidak ada tanggungjawab membeli kereta kebal, kapal perang, mempunyai peruntukan yang jauh lebih besar daripada semua kementerian-kementerian yang lain. Saya melihat perbelanjaan pembangunan Jabatan Perdana Menteri, RM12.2 bilion berbanding dengan kementerian-kementerian lain.


Saya bagi list sekarang. Kesihatan cuma RM1.8 bilion, Perdana Menteri RM12.2 bilion. Pertahanan beli kereta kebal, beli kapal layar semua ini RM3.3 bilion sahaja. Pendidikan kita cakap hendak modal insan semua ini- RM1.4 bilion. Tidak boleh compare dengan RM12.2 bilion daripada Jabatan Perdana Menteri. Pendidikan Tinggi RM2.9 bilion sahaja, Jabatan Kerja Raya, Pan Borneo semua ini cuma RM3.7 bilion.


Tuan Yang di-Pertua, sekarang saya ingin menyentuh kepada perkara-perkara dasar yang bersifat prihatin terhadap kebaikan keseluruhan negara kita iaitu dasar...


(sambung)


Baik, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengatakan tentang dasar yang saya rasa Dasar Bipartisan ya. Bagi saya dua perkara yang perlu kita sehati sejiwalah, sama ada di sebelah sana atau di sebelah sini ialah dua perkara, iaitu pertama Dasar Luar Negara ataupun foreign policy. We have to be united my honorable ladies and gentlemen from the other side. We have to be united, dan kedua Dasar Ekonomi. Saya percaya semua Ahli Parlimen ingin melihat negara kita membangun pesat mencapai status negara maju ataupun developed country yang disegani dunia. Pihak Pakatan Harapan tidak ada agenda merosakkan ekonomi negara, tetapi apabila negara kita dipanggil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau DOJ, sebagai sistem ekonomi kleptokrasi kita perlu menyoal cara pentadbiran Yang Amat Berhormat Pekan demi kebaikan negara kita.


Saya bosan mendengar tuduhan-tuduhan bahawa Pakatan Harapan hendak sabotaj negara. Tuduhan ini tidak benar dan penuduh-penuduh tahu yang ia tidak benar. You yourself know it’s not true. Apa maknanya kita memerlukan dasar ekonomi yang kedua-dua pihak boleh sokong.


Pertama, pentadbiran ekonomi kita tidak boleh berfungsi secara nepotisme dan rasuah dan juga tidak boleh membazir.


Kedua, ekonomi negara mesti dibangunkan berdasarkan maximum comparative advantages kepada negara.


Ketiga, dasar kita perlu memberi fokus kepada perindustrian.


Keempat, kita perlukan pekerja-pekerja mahir yang dilahirkan daripada universitiuniversiti kita di mana kurikulumnya baik dan dibenarkan berbincang tentang isu-isu politik dan ekonomi.


Kelima, gaji kepada pekerja-pekerja mestilah berpatutan dan berdasarkan elemenelemen pasaran supply and demand. Kalau tidak, kita akan mengalami continuous brain drain.


Dasar keenam yang kedua-dua pihak kena sokong dan saya percaya kita boleh sokong ialah, kita perlu menghadapi revolusi the Fourth Industrial Revolution dan teknologiteknologi terkini dan juga cuba memahami isunya, dan cuba mengawal selia ataupun regulate isu-isu ini.


Sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat sebelah sana bersetuju dalam enam perkara ini, kita tidak payah susah payah bergaduh tentang dasar-dasar ekonomi kita. Soal pokoknya ialah, adakah Ahli-ahli sebelah sana boleh agree on the very first point. Bolehkah kita memerangi gejala nepotisme, pembaziran dan rasuah?


Tuan Yang di-Pertua, sekarang saya ada enam minit lagi ya. Sekarang saya ingin berbincang sedikit tentang climate ekonomi kita yang penuh dengan isu persepsi dan ketidakinginan untuk menghadapi masalah yang sebenarnya. Apa sebenarnya yang berlaku di Malaysia sekarang? Ramai mungkin mendapat gambaran bahawa ahli-ahli politik pandai berbohong, bercerita ataupun spin. Kadang-kadang kita susah hendak tahu sama ada apa yang dikatakan betul atau tidak. Akan tetapi angka-angka tidak berbohong. The numbers don’t lie. Jadi dengan menganalisa nombor-nombor yang tertera, kita mendapat satu gambaran sebuah sistem yang cukup ada masalah dan tanpa akauntabiliti.


Apabila kita membentangkan Belanjawan Pakatan Harapan, ramai pihak termasuk bankers, industrialists, pakar-pakar ekonomi, Menteri-Menteri menyerang kita berkata belanjawan kita tidak realistik dan tidak mungkin dilakukan. Bagi saya penjelasan tentang kenapa kami banyak diserang ini, adalah senang. Bahawa ramai pakar di negara kita ini buta kepada satu fakta yang jelas dan ketara dan tidak berani bincang tentang isu ekonomi negara. Ini mungkin disebabkan pakar-pakar ini takut dikenakan tindakan balasan. Bagi bankers mereka mungkin takut lesen bank ditarik, tauke-tauke besar mungkin takut tidak boleh dapat kontrak lanjut. Economists pula takut hilang tenure universiti mereka. Ini menimbulkan satu budaya conspiracy of silence. Konspirasi ini ialah mereka semua enggan mengatakan dan mengiktiraf hakikatnya bahawa perbelanjaan Kerajaan Malaysia penuh terjejas oleh ketirisan dan rasuah dan jumlah itu sebenarnya boleh dikira.


Formula pembaziran dan rasuah ini mudah saja. Pertama, kita tolak item-item perbelanjaan yang tidak mungkin terjejas iaitu emolumen, bayaran tetap dan pencen. Ini berjumlah RM137 bilion. Emolumen RM79 bilion, faedah dividen dan kenaan bayaran hutang RM35 bilion, pencen RM16.5 bilion, ganjaran RM6.45 bilion. Semua perbelanjaan-perbelanjaan yang lain sebanyak RM145 bilion boleh terjejas oleh ketirisan dan rasuah. Ini bermakna, daripada jumlah ini sebahagiannya akan dibazirkan dan tertiris.


Untuk mendapat peratusan ketirisan rasuah, pejabat saya bersama dengan pejabat Yang Berhormat Pandan menganalisis 30 kes yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan-laporannya. Kita tahu purata pembaziran dan juga rasuah ini adalah pada paras 15 peratus ke 20 peratus. Justeru kita menganggap bahawa 15 peratus ke 20 peratus daripada jumlah RM145 bilion di antara kira-kira RM22 bilion ke RM29 bilion setahun.


Saya juga merujuk kepada satu petunjuk lain iaitu memerhati nisbah perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan berbanding perbelanjaan emolumen. Di pejabat saya, perbelanjaan bekalan dan perkhidmatan yang penting termasuk bayaran untuk bil elektrik, telefon, komputer sewa pejabat serta elaun perjalanan pengangkutan untuk staf saya. Saya menggunakan nisbah cuma 13 sen kepada setiap RM1 yang dibayar sebagai emolumen, gaji kepada staf-staf saya. Bagi syarikat-syarikat korporat di Malaysia, nisbah ini adalah pada paras 22 sen setiap RM1 dibayar sebagai emolumen.


Ini nombor kerajaan sendiri. Kerajaan Persekutuan Malaysia mempunyai nisbah sebanyak RM42 sen setiap RM1. Emolumen kita RM79 bilion, bekalan dan perkhidmatan RM34 bilion. Ini bermakna jika kerajaan kita diurus baik mengikut rekod-rekod setara dengan syarikat-syarikat korporat, kita boleh kurangkan penjimatan sebanyak RM16.6 bilion. Jadi, apabila kita buat anggaran apakah tahap ketirisan rasuah ianya memang tepat bahawa ia lebih kurang RM22 bilion ke RM29 bilion.


Saya cuma hendak minta satu benda. Saya ada dua minit lagi ya. Saya memanglah ada kawan baik di sebelah sana juga. Yang Berhormat Menteri-Menteri yang betul-betul capable lah.


Saya hendak minta kalau kita benar-benar hendak menangani masalah fiskal negara kita, ini perlu dilakukan melalui reformasi anti rasuah. Jangan berpura-pura bahawa isu ketirisan dan rasuah tidak wujud. Seolah-olahnya isu 1MDB ini fiksyen semata-matanya. Bagi Ahli-ahli Parlimen sekalian, khasnya Ahli-ahli Barisan Nasional, saya mohon Yang Berhormat-Yang Berhormat mempertimbangkan berapa banyak harta yang diperlukan dalam kehidupan ini- how much money do you really need? Saya percaya bahawa rakan-rakan BN sama dengan sayalah. Saya katakan upper middle class. Kita ada tiga kereta, satu rumah yang baik. How much more do you need? Adakah ambition sebelah sana untuk memastikan anak-anak mereka naik Ferrari, ada rumah di London. Saya rasa tidak. We know our limit. Itu penting.


Jadi bila kita jadi Yang Berhormat Menteri ataupun Ahli Parlimen, kita kena selalu ingat setiap duit yang tambah masuk dalam poket, dalam bank akaun kita ia berasal dari mana? Daripada taxpayers money. Saya pasti semua Ahli Parlimen tidak perlu RM2.6 bilion dalam bank akaun. Maybe you need RM10 million. I can accept that, betul. If you have RM10 million in your bank account, I’ve no quarrel with you. This is the lesson we have to learn. Kalau kita betul-betul hendak jaga keadaan fiskal negara dan keadaan ekonomi negara, kita kena jaga apakah level yang kita hendak untuk kita sendiri, untuk anak-anak kita sendiri. Don’t go overboard. If you go overboard, you are supporting a kleptocratic system. Jadi Yang Berhormat Menteri-Menteri yang capable, yang ramai kawan saya ini di sebelah sana ya, saya tidak hendak buat namalah ya. Saya cuma hendak nasihat satu saja. If you are a capable Minister, do not serve a kleptocrat anymore. Itu saja ucapan untuk saya. Terima kasih.

bottom of page