• Free Malaysia Today

Wong Chen serah kepada rakyat nilai janji manifesto PH

Oleh Faiz Zainudin, Free Malaysia Today (4 Julai 2019) KUALA LUMPUR: Rakyat akan menilai sejauh mana pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto pilihan rayanya, kata Wong Chen (PH-Subang). Beliau berkata demikian susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew tidak menjawab pertanyaan berhubung pendirian kerajaan dan garis masa, sama ada akan melaksanakan pemindahan kuasa melantik ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Parlimen dengan meminda Akta SPRM 2009 selaras dengan manifesto yang dijanjikan. “Sebenarnya soalan saya tentang pendirian kerajaan PH dan garis masa, adakah kita akan melakukannya atau tidak, tapi tak apa rakyat akan buat kesimpulan sendiri sama ada jawapan itu satu komitmen atau tidak,” katanya.

Wong Chen merujuk janji PH bahawa setiap pelantikan jawatan utama penjawat awam termasuk ketua pesuruhjaya SPRM perlu disahkan melalui Jawatankuasa Khas Parlimen Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (PSC). Liew menerusi jawapannya di Parlimen berkata pihaknya masih meneliti mekanisma yang sesuai untuk memindahkan kuasa pelantikan penjawat awam itu kepada Parlimen pada masa akan datang.

“Proses pelantikan jawatan utama ini pada masa depan dijalankan dengan aktif untuk mengkaji mekanisma peranan ‘select community’ dalam perkara ini dan punca kuasa mereka dan bagaimana kita akan beri nama calon kepada PSC.

“Semua proses kita kenal pasti, saya harap ini akan diperhalusi. Saya juga berjumpa speaker dan perdana menteri untuk mencari satu mekanisma untuk proses pindaan tersebut kepada Parlimen.

“Saya harap ini dapat dijalankan pada tahun ini,” katanya sambil memaklumkan perbincangan turut dibuat dengan 6 anggota PSC yang dilantik.


Mengulas isu ketidakpuasan hati termasuk dari pemimpin kerajaan susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM yang tidak dibuat melalui persetujuan PSC, Liew berkata semua pihak perlu menghormati keputusan yang dipersetujui Agong.

“Memandangkan Agong berkenan dengan pelantikan Latheefa, saya rasa kita sebagai rakyat kena hormat keputusan pelantikan tersebut,” katanya.

Akta SPRM 2009 membenarkan perdana menteri melantik ketua SPRM, tetapi PH dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji pelantikan itu akan dibuat melalui PSC.

Waktu pertanyaan PM dilaksana Oktober

Dalam perkembangan lain Liew berkata akta pertanyaan perdana menteri dijangka dilaksanakan pada sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

“Sememangnya perdana menteri keluarkan hasrat beliau memang berminat untuk menjawab pertanyaan di Parlimen, pada masa lalu perdana menteri juga kerap datang ke Dewan Rakyat untuk menjawab soalan, kita harap dapat adakan pada sesi akan datang,” katanya.